‘Kahwin paksa’ dalam kerajaan perpaduan tidak akan berjaya, kata Ismail sabri


Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan perpaduan sekarang tidak akan dapat bertahan lama berikutan ketegangan yang berterusan antara Umno dan DAP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 April, 2023.

BEKAS perdana menteri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan perpaduan sekarang tidak akan dapat bertahan lama berikutan ketegangan yang berterusan antara Umno dan DAP.

Beliau berkata keretakan dalam gabungan itu sudah boleh dilihat menerusi perbahalahan dan tikam lidah antara pemimpin dalam kedua-dua parti itu.

“Kahwin paksa memang tak akan tahan lama. Kalau kahwin paksa seperti ini, tidak ada perasaan cinta antara satu sama lain, akhirnya akan berlakulah keretakan dan mungkin akan berlaku keretakan membawa belah dan sebagainya,” katanya.

“Ini hanya permulaan tetapi sudah ada orang DAP komen tentang Umno dan Umno komen mengenai DAP,” katanya di Kuala Lumpur semalam, di mana klip videonya tular di media sosial.

Ismail Sabri berkata ikatan antara dua parti bukan saja perlu lancar di peringkat kepimpinan, tetapi juga di akar umbi.

Umno bersetuju menjadi sebahagian daripada kerajaan dibentuk oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim selepas pilihan raya umum lalu.

Terdahulu, parti itu bertegas mengatakan tidak akan bekerjasama dengan PH selagi DAP masih ada dalam pakatan itu.

Umno dan DAP bermusuhan sejak sekian lama.

Sejak beberapa minggu lalu, pemimpin kedua-dua parti saling mengkritik satu sama lain berhubung pengaruh politik masing-masing.

Minggu lalu, Naib Pengerusi DAP Perak Abdul Aziz Bari dilaporkan berkata peranan Umno dalam enam pilihan raya negeri akan datang masih tidak pasti kerana mereka dilihat tidak dapat menarik sokongan Melayu.

Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed membalas kritikan itu dengan berkata DAP menjadi liabiliti kepada kerajaan campuran untuk memenangi semula sokongan orang Melayu.

Nur Jazlan berkata Umno komited untuk menjayakan kerjasama BN-PH dan oleh tidak tidak menarik perhatian kepada perkara itu.

“Tetapi bila kami senyap, DAP pula yang buat kenyataan seperti itu,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri dilihat tersingkir daripada hierarki Umno selepas beliau memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatan naib timbalan pada pemilihan parti baru-baru ini.

Beliau juga dilihat lebih berminat membentuk kerajaan dengan Perikatan Nasional selepas PRU15. – 17 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen