PELAWAK Siti Nuramira Abdullah mengaku bersalah atas pertuduhan alternatif mengeluarkan kata-kata dengan niat sengaja untuk menyakiti perasaan orang lain di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini.
Dia sebelum ini didakwa menghina Islam di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan atau perasaan permusuhan, kebencian atau niat jahat, atau menjejaskan pemeliharaan keharmonian atau perpaduan, atas alasan agama.
Dia membuat tuntutan dibicarakan bagi pertuduhan itu tetapi pagi ini menukar pengakuannya dan mengaku bersalah terhadap pertuduhan alternatif di hadapan hakim Sesyen Nor Hasniah Ab Razak.
Wanita berusia 27 tahun itu didakwa pada Julai tahun lalu atas persembahannya di sebuah kelab komedi.
Peguamnya Ramesh N. P. Chandran hari ini berkata anak guamnya memutuskan untuk menukar pengakuannya selepas pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 298 Kanun yang sama kerana mengeluarkan kata-kata dengan niat sengaja untuk melukai perasaan agama mana-mana orang.
Ia membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Siti Nuramira didakwa mengeluarkan kata-kata yang menghina agama dan menanggalkan baju kurungnya semasa di atas pentas. – 17 April, 2023.
MENYUSUL
Komen