LAPORAN penuh siasatan dalaman insiden kematian anggota tentera Koperal Mohammad Nasri Mohd Nasib yang ditemukan maut di Hutan Simpan Belum, Perak, pada 12 April lepas dijangka siap dalam tempoh dua minggu.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata setakat ini, laporan siasatan berkenaan lebih 50% siap dan perkembangan terkini siasatan itu akan dibentangkan dalam Mesyuarat Pasca Kabinet pada Rabu ini.
“Siasatan masih berjalan dan selalulunya laporan daripada siasatan ini akan dibawa dalam Mesyuarat Pasca Kabinet…biasanya kita akan ada mesyuarat berkenaan setiap hari Rabu petang.
“Jadi pada Rabu ini kita akan dapat sedikit laporan tetapi dalam tempoh dua minggu ini, selepas hari raya kita yakin laporan penuh akan dapat diperoleh,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Ahli Parlimen Alor Gajah malam tadi.
Beliau berkata Kementerian Pertahanan juga akan memastikan kebajikan ahli keluarga allahyarham Mohammad Nasri terutama isteri, Nurhayatul Husna, 30, serta sepasang anaknya Muhammad Aakif Rizqi, 4, dan Nur Afifah Raisha, 2, sentiasa terbela dan mendapat pendidikan yang sempurna.
Media sebelum ini melaporkan Nasri yang merupakan anggota daripada Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Seri Bentong, Pahang, dilaporkan hilang ketika menjalankan operasi di kawasan pedalaman Hutan Simpan Belum pada 7 April lepas.
Jenazah allahyarham Nasri dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masjid Pulau Mertajam, Penaga di Pulau Pinang pada 13 April lepas.
Hasil bedah siasat mendapati kematian anggota tentera itu berpunca daripada kecederaan kepala dipercayai akibat terjatuh. – Bernama, 17 April, 2023.
Komen