QATAR mengecam keputusan tiga negara Arab memutuskan hubungan diplomatik dengannya, mengatakan yang tindakan itu “tidak bersebab” dan bertujuan meletakkan Qatar di bawah “kawalan” politik.
“Tindakan itu tidak bersebab dan berasaskan dakwaan palsu dan tidak berasas,” kata kementerian luar negara Qatar dalam satu kenyatan hari ini, merujuk kepada tindakan yang diambil Arab Saudi, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu dan Mesir.
“Matlamatnya jelas, dan ia mahu mengenakan kawalan ke atas negara ini. Tindakan itu sendiri ialah pencabulan kedaulatan kepada negara Qatar,” tambahnya.
Tuan rumah Piala Dunia 2022 itu berkata ia menjadi mangsa “kempen yang dicetuskan berasaskan kepalsuan, yang mencerminkan niatnya untuk menekan Qatar”.
Doha menegaskan yang tindakan itu, yang termasuk negara Arab menutup laluan udara, tanah dan laut dengan Qatar, “tidak akan menjejaskan kehidupan harian rakyat dan penduduknya”.
“Kerajaan Qatar akan mengambil tindakan sewajarnya…bagi mengagalkan cubaan untuk memburukkan masyarakat dan ekonomi Qatar,” kata kenyataan itu lagi.
Qatar mempunyai sempadan darat dengan Arab Saudi dan dipisahkan dengan laut daripada negara jirannya Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu. – AFP, 5 Jun, 2017.
Komen