Tolak pinda AUKU, mansuhkan terus, kata mahasiswa


Alfian Z.M. Tahir

Anwar ketika sesi dialog bersama mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM), awal bulan ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 April, 2023.

PEMIMPIN mahasiswa melahirkan kekecewaan terhadap pendirian Putrajaya untuk tidak memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 seperti dijanjikan sedangkan kerajaan hari ini membantah akta itu ketika menjadi pembangkang.

Bercakap kepada The Malaysian Insight mereka akui terkejut apabila Pakatan Harapan kini memungkiri janji untuk memansuhkan akta itu.

Kekecewaan itu timbul selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata fasal tertentu dalam AUKU akan dipinda sambil menegaskan undang-undang itu relevan untuk keperluan semasa.

“Apa yang dibangkitkan tentang AUKU itu penting. AUKU ini, peruntukan tentang kebebasan kegiatan mahasiswa itu boleh diperhalusi atau akademik, profesor dan pensyarah boleh menulis dan memberikan pandangan termasuk kritikan.

“Namun beberapa peruntukan lain itu penting jadi kalau batalkan saya fikir tidak sesuailah. Makna, kita boleh pinda beberapa peruntukan yang perlu diperjelaskan,” kata Anwar pada sesi dialog bersama mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM), baru-baru ini.

Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Aliff Naif Mohd Fizam membidas kegagalan kerajaan menunaikan janji tersebut.

Beliau bagaimanapun berharap Putrajaya tidak akan mungkir untuk meminda beberapa fasal yang menindas dalam akta tersebut.

“Kami dah lama perjuangkan perkara ini. Ramai dalam kalangan kami termasuk bekas-bekas pemimpin turun ke jalan untuk mendesak agar AUKU dimansuhkan.

“Saya kecewa dengan keputusan ini tapi saya sangat harap mereka buat apa yang dijanjikan untuk ganti seksyen yang menindas dalam akta itu.

“Seksyen 15 misalnya perlu dikeluarkan. Beri autonomi kepada mahasiswa untuk menguruskan kewangan sendiri dan menteri tidak boleh diberi kuasa mutlak untuk melantik canselor atau naib canselor universiti.

“Jika mereka boleh melakukan ini maknanya ada sedikit perubahan walaupun kita mahukan akta ini dimansuhkan sepenuhnya,” katanya.

Pada Februari, Menteri Pengajian Tinggi Mohamed Khaled Nordin berkata AUKU masih relevan terutama melibatkan hal urus tadbir universiti sambil menambah pemansuhannya akan menjejaskan tadbir urus universiti awam terutama sewaktu peralihan akta.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu, Pemuda Pakatan Harapan menjanjikan akan memansuhkan AUKU yang menghalang mahasiswa menyertai gerakan politik.

Pada 7 Februari, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanah Rata Ho Chi Yang menggesa kerajaan perpaduan memansuhkan Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) 1971 demi menjamin secara institusi autonomi mahasiswa di universiti.

Dalam pada itu Timbalan Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (UM) Arvin Kumar Mohan berkata selagi AUKU wujud mahasiswa masih dibelenggu.

Katanya apa pun alasan, AUKU mesti dimansuhkan sepenuhnya.

“Wujudkan akta baharu, UM sendiri pernah ada Akta Universiti Malaya 1961 dan bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik sudah draf akta pendidikan tinggi ketika beliau dalam Kabinet.

“Dengan AUKU, tiada kebebasan untuk mahasiswa menyertai sebarang aktiviti. Kami masih terikat,” kata Arvin. – 17 April, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen