Tiada pegawai khas Zahid dapat projek KDN, kata timbalan menteri


Amin Iskandar

Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed berkata kontrak berkenaan diluluskan kepada tiga syarikat, bukan satu sahaja.– Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mac, 2018.

TIMBALAN Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed menafikan pegawai khas kepada Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menerima kontrak daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Nur Jazlan berkata, mengikut rekodnya, individu yang menerima kontrak melibatkan kelulusan pekerja asing itu bukanlah pegawai khas kepada Zahid yang juga menteri dalam negeri.

“Kontrak telah diluluskan kepada tiga syarikat, bukan satu sahaja. Dan proses telah diikuti oleh bahagian perolehan KDN.

“Sejak bila dia jadi pegawai khas timbalan perdana menteri? Saya pun tidak tahu sebab dalam rekod kita tidak ada,” kata Nur Jazlan menjawab soalan Steven Sim (DAP-Bukit Mertajam) yang membangkitkan mengapa pegawai khas kepada Zahid mendapat projek daripada KDN.

Sim mempersoalkan, bagaimana syarikat Bukit Megah Sdn Bhd yang dikaitkan dengan individu yang didakwa pegawai khas kepada Zahid boleh diberikan kontrak swasta untuk memproses kelulusan pekerja asing.

“Bukan sahaja daripada satu negara sumber tetapi lima belas negara sumber. Orang dia yang memberi kelulusan, menteri dia yang beri kelulusan, orang dia juga yang memperoleh keuntungan daripada kelulusan tersebut.

“Jadi kita nak tahu sama ada wujud percanggahan kepentingan. Adakah syarikat ini dapat kontrak konsesi Imigresen melalui tender terbuka?” soal Sim di Dewan Rakyat hari ini.

Sim berkata, rekod terakhir pegawai khas ini berkhidmat dengan Zahid ialah pada Januari 2017.– 19 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen