Kastam siasat kes seludup dadah ke Australia


Pada 13 Mac penghantaran heroin seberat 336kg dengan nilai kira-kira A$268 juta (RM790 juta) dirampas oleh polis persekutuan Australia di Brisbane, Queensland. – Gambar polis persekutuan Australia di Brisbane, Queensland, 16 April, 2023.

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sedang menjalankan siasatan berhubung penyeludupan dadah bernilai kira-kira RM790 juta dari Pelabuhan Klang ke Brisbane, Australia, kata Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) (Penguatkuasaan/Pematuhan) Sazali Mohamad hari ini.

Beliau berkata laporan siasatan berhubung perkara itu akan disiapkan dalam tempoh dua minggu seperti yang diarahkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Setakat ini kami tidak boleh mendedahkan hasil siasatan kerana maklumat ini perlu dirahsiakan, tetapi laporan itu akan siap dalam tempoh dua minggu,” katanya dipetik Berita Harian.

“Tiada pegawai dihantar ke Australia (untuk menyiasat) kerana kami mempunyai pegawai kastam di suruhanjaya tinggi Malaysia di sana dan kami sedang berhubung dengan mereka,” tambah Sazali.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan anggota kastam bersekongkol dalam kes penyeludupan itu Sazali berkata perkara itu masih dalam siasatan.

Semalam Anwar menggesa polis menjalankan siasatan segera dan melaporkan kes penyeludupan dadah dalam tempoh dua minggu akan datang.

Anwar juga mempersoalkan bagaimana sistem “canggih” gagal mengesan dadah dalam konsainan dan bagaimana insiden serupa dikatakan berlaku 12 hingga 16 kali selama ini.

Pada 13 Mac penghantaran heroin seberat 336kg dengan nilai kira-kira A$268 juta (RM790 juta) dirampas oleh polis persekutuan Australia di Brisbane, Queensland.

Dadah itu disembunyikan dalam dua blok konkrit, masing-masing seberat kira-kira 500kg ditanda sebagai aksesori panel solar di dalam kontena pengangkutan laut, kata polis Australia.

Pegawai menggerudi ke dalam blok konkrit dan mengeluarkan 960 bungkusan, setiap satu mengandungi kira-kira 350g heroin

Media Australia melaporkannya sebagai tangkapan dadah terbesar pernah berlaku di Queensland dan kedua terbesar di seluruh negara. – 16 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen