Insiden letupan, PM Jepun sambung kempen


Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida menyambung semula aktiviti kempen semalam selepas selamat dalam insiden letupan bom asap. – Gambar AFP, 16 April, 2023.

PERDANA Menteri Jepun Fumio Kishida menyambung semula aktiviti kempen semalam selepas selamat dalam insiden letupan “bom asap”.

Insiden berlaku di barat Jepun, bandar Wakayama kurang setahun selepas pembunuhan bekas perdana menteri Shinzo Abe, yang mencalar ketenangan negara itu dan menggugat keselamatan penjawat awam.

Kishida berada di bandar itu untuk menyampaikan ucapannya dalam menarik sokongan kepada calon parti pemerintah apabila insiden itu berlaku di tengah-tengah khalayak ramai.

Rakaman daripada stesen televisyen NHK menunjukkan perdana menteri berpusing ke belakang ketika seorang individu ditahan pihak keselamatan.

Beberapa minit kemudian letupan kedengaran dan kawasan itu dipenuhi asap putih.

Rakaman dan gambar dari tempat kejadian menunjukkan objek seperti paip berwarna perak terjatuh di atas tanah, tetapi tidak jelas sama ada ia punca letupan dan asap itu.

Pihak berkuasa berkata seorang lelaki ditahan disyaki melakukan gangguan itu.

Suspek berusia 24 tahun dari Hyogo, kata polis. – AFP, 16 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen