SEKURANG-KURANGNYA 12 banduan terbunuh selepas pergaduhan tercetus di penjara di bandar pelabuhan Guayaquil di Ecuador, kata pejabat pendakwa raya semalam.
Ia adalah keganasan terbaru dalam sistem hukuman di bandar itu.
Berpuluh-puluh banduan maut selepas perbalahan tercetus pada Jumaat – ia susulan enam tahanan ditemui tergantung di penjara sama dan tiga pengawal wanita terbunuh awal minggu ini.
Penjara di Ecuador sering menjadi tempat pembunuhan antara banduan, terutama ia berkaitan dengan persaingan kumpulan jenayah yang berebut untuk mengawal aktiviti pengedaran dadah.
“Siasatan dibuka untuk mengenal pasti siapa bertanggungjawab atas kematian banduan ini,” kata pejabat pendakwa raya, menambah mayat ada kesan kecederaan akibat peluru.
Guayaquil sejak beberapa tahun terakhir ini menjadi pusat pengedaran dadah di Ecuador, dengan lokasinya terletak antara Colombia dan Peru – dua negara penghasil dan pengeluar kokain utama dunia.
Sejak Februari 2021, lapan pembunuhan beramai-ramai direkodkan berlaku di penjara, dengan lebih 400 banduan terbunuh, kebanyakannya dikerat anggota badan dan dibakar.
Selepas enam banduan ditemui mati tergantung pada Rabu, tiga pengawal wanita ditembak mati pada Khamis oleh pembunuh upahan di sebuah restoran di luar kompleks penjara. – AFP, 16 April, 2023.
Komen