Harga diesel lebih banyak naik daripada turun


Amin Iskandar

HARGA diesel lebih banyak dinaikkan berbanding diturunkan sejak sistem apungan minyak diperkenalkan, kata Menteri Kewangan II Johari Abdul Ghani.

Johari berkata, penurunan harga bagi RON95 dan RON97 lebih banyak berbanding kenaikan.

“Diesel naik 21 kali, turun 16 kali, kekal 2 kali. 

“Jumlah naik 83 sen, jumlah turun 80 sen. Penambahan 3 sen,” kata Johari (BN-Titiwangsa) di Dewan Rakyat hari ini.

Johari menjawab soalan Mahfuz Omar (Amanah-Pokok Sena) tentang diesel lebih mahal daripada harga petrol yang menyebabkan tekanan dan bebanan kepada rakyat khususnya kepada pesawah pagi. 

“Sejak kita mengapungkan harga minyak ini mengikut harga pasaran, untuk RON97 sebanyak 21 kali naik, turun 15, kekal 3. Jumlah naik 86 sen, jumlah turun 92 sen. Bermakna RON97 nett 6 sen. Masih kurang bermula pada mula-mula kita gunakan floating (apungan).

“RON95 naik 21, turun 15 kali, kekal 3 kali. Jumlah keseluruhan naik 84 sen, jumlah keseluruhan turun 87 sen,” katanya.

Sejak 1 Disember 2014, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan melaksanakan sistem apungan minyak bagi menentukan harga petrol dan diesel susulan pemansuhan subsidi bahan api. – 19 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen