MENTERI Sumber Manusia V Sivakumar mengesahkan beliau tidak dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setakat ini, susulan penahanan beberapa pegawai kanannya.
Sivakumar berkata beliau akan memberikan kerjasama termasuk memberikan kenyataan sekiranya diminta oleh SPRM.
“… belum dipanggil, kalau dipanggil saya rela pergi untuk beri keterangan,” katanya kepada pemberita selepas majlis hi-tea bersama pemimpin badan bukan kerajaan masyarakat India sempena sambutan perayaan Chithirai Phutandu 2023 hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai penahanan beberapa orang pegawai kanannya dipercayai berkaitan isu pengambilan pekerja asing.
Sivakumar berkata ketika ini SPRM masih menjalankan siasatan berhubung perkara itu.
“Saya dan juga semua pegawai di Kementerian Sumber Manusia (KSM) bersedia untuk memberi sebarang kerjasama, seperti mana dalam ucapan Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) semalam bahawa pihak SPRM jalankan tanggungjawab mereka dan adalah menjadi tugas dan tanggungjawab saya dan seluruh anggota KSM untuk beri sebarang kerjasama.
“Dari segi prinsip, saya menyokong penuh pelaksanaan undang-undang yang berteraskan kepada keadilan dan kebenaran dalam siasatan ini, tidak jadi masalah,” katanya. – Bernama, 15 April, 2023.
Komen