Cuaca panas, kebakaran tanah punca jerebu, kata menteri


Cuaca kering menyebabkan insiden kebakaran berlaku di kawasan hutan dan tanah yang mempunyai pemilik, kata Nik Nazmi Nik Ahmad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 April, 2023.

JEREBU yang sedang dialami negara ketika ini berpunca daripada insiden kebakaran kawasan seperti tanah gambut, kawasan yang mudah terbakar dan pembakaran terbuka, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, cuaca panas yang melanda Semenanjung kini dan aktiviti ekonomi yang kembali beroperasi selepas Covid-19 turut menjadi penyumbang kepada keadaan itu.

“Cuaca kering ketika ini menyebabkan insiden kebakaran berlaku membabitkan kawasan hutan dan kawasan tanah yang mempunyai pemilik.

“Keadaan jerebu ini bukan hanya di Malaysia tetapi juga berlaku di negara rantau Asean,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada 50 orang asnaf di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata, beberapa agensi kerajaan sedang bertungkus-lumus memadam kebakaran tanah gambut yang berlaku di Kampung Beoh Mukim Beris Lalang di Bachok, Kelantan yang berlaku sejak 27 Mac lalu.

Beliau berkata, pada mulanya kebakaran hanya membabitkan kawasan seluas lima hektar namun kini sudah merebak hingga 20 dan 50 hektar.

Menurutnya lokasi kejadian masih lagi berasap dan belum lagi dapat dipadamkan sepenuhnya.

“Malah kebakaran mula merebak ke kampung berdekatan seperti Kampung Kual, Kampung Kual Kecil dan Kampung Gondang.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan mengeluarkan notis arahan kepada semua pemilik tanah supaya bertanggungjawab dan mengambil langkah sebaiknya untuk elakkan tanah diceroboh atau dibakar,” katanya.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata JAS Kelantan juga mengerakkan pasukan operasi mencegah kebakaran terbuka dengan melakukan pemeriksaan harian di semua kawasan tanah gambut yang mudah terbakar dalam tempoh musim kering ini.

“Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia melakukan operasi pengepaman telaga tiub di kawasan itu sejak 29 Mac sehingga kini bagi mengalirkan air ke parit dan alur air berhampiran bagi melembapkan tanah supaya dapat mengelak kebakaran daripada terus merebak.

“Jabatan Pengairan dan Saliran juga menyelenggara saliran yang tersekat bagi memudahkan aliran air seterusnya meningkatkan paras air di alur dan mengekalkan kelembapan tanah,” katanya.

Beliau berkata operasi pemadaman turut membabitkan bomba yang memantau keadaan dan menjalankan kerja pemadaman sejak kebakaran mula dikesan. – Bernama, 15 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen