PRN: Agihan kerusi BN-Pakatan 80% selesai, kata Asyraf Wajdi


Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata baki 20% lagi masih memerlukan perincian sebelum keputusan dimuktamadkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 April 2023.

PENGAGIHAN kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri sudah mencapai 80%, kata Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata baki 20% lagi masih memerlukan perincian sebelum keputusan mengenainya dimuktamadkan.

“Secara umumnya, 80% kita sudah ada satu kesefahaman, cuma ada 20% lagi yang memerlukan perincian dan kita nampak tidak ada masalah besar dalam perundingan, suasananya cukup positif dan sudah tentu setiap badan gabungan perlu kembali kepada parti masing-masing.

“Itu sahaja boleh saya katakan, selebihnya kita tunggu apabila kita sudah memuktamadkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Colek Bersama Media Kelantan di Kota Bharu malam tadi.

Sementara itu beliau berkata Umno melihat PRN melibatkan Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu dan Kelantan pada tahun ini menjadi ‘ujian litmus’ pertama kerjasama dan persefahaman buat BN dan PH di peringkat persekutuan menerusi kerajaan perpaduan.

Katanya sifat realistik penting dan PRN dijadikan pentas pertama bukan sahaja menguji tetapi mahu melihat perkara yang boleh ditambah baik.

“Paling penting kerajaan yang ada perlu stabil dari segi ekonomi, pembangunan sosial. Disebabkan perbalahan politik lebih empat tahun lalu Malaysia sudah jauh ketinggalan berbanding dengan negara jiran,” katanya. – Bernama, 15 April 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen