BEKAS ahli Parlimen Klang Charles Santiago sekali lagi mendesak Putrajaya untuk memindahkan pengurusan pekerja asing dari Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia ke Jabatan Perdana Menteri.
Katanya, pengurusan pekerja asing dikawal oleh broker dari negara penghantar dan penerima pekerja dan kerana itu ia adalah perniagaan bernilai jutaan ringgit.
“Perdana Menteri patut menjadi timbalan pengerusi pengurusan dan pesara penjawat awam kanan patut jadi pengerusi.
“Ia perniagaan bernilai jutaan ringgit. Ia dikawal oleh broker pekerja. Penjawat awam dan politikus bekerja dengan broker ini dan ahli politik sering menjadi muka depan agensi pengambilan pekerja,” kata Santiago dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu dikeluarkannya selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menahan beberapa orang termasuk setiausaha sulit kepada Menteri Sumber Manusia V Sivakumar.
Santiago turut mendesak kerajaan untuk menamatkan khidmat portal Bestinet.
“Portal pengambilan pekerja itu juga dikawal broker besar. Anwar patut menyokong dasar sifar pengambilan. Semua bayaran perlu ditanggung majikan.
“Sekarang, broker besar buat duit daripada majikan dan pekerja asing menyebabkan wujud ikatan hutang dan tuduhan buruh paksa.”
Tambahnya proses pengambilan pekerja perlu terbuka dan telus di kedua-dua negara dan semua caj kepada kesihatan, pengangkutan udara dan penginapan perlu dimaklumkan secara terbuka kepada pekerja asing.
Beliau turut mencadangkan Putrajaya menerbitkan laporan Jawatan Khas Pengurusan Pekerja Asing 2019 yang dipengerusikan Hakim Mahkamah Rayuan Hishammudin Yunus.
“Pengurusan pekerja asing dijadikan tahanan oleh orang tengah tidak beretika di kedua-dua negara. Jika diikutkan, kerajaan, majikan dan ekonomi juga ditahan orang tengah. Ia perlu dihentikan untuk negara bergerak ke hadapan.”
Sehari sebelum menahan setiausaha sulit Sivakumar, SPRM sudah menahan seorang lagi pembantunya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan penahanan mereka bersama beberapa orang lain dalam balasan ringkas kepada The Malaysian Insight.
SPRM dipercayai menyerbu pejabat kementerian susulan wujud dakwaan mereka yang terlibat melaksana skim penggambilan pekerja asing walaupun jelas wujud konflik kepentingan kerana status pekerjaan mereka di kementerian.
Sivakumar bagaimanapun meminta media tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan penahanan pembantunya.
“Kementerian dan saya akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, jika diperlukan.
“Saya harap media tidak buat spekulasi atau andaian sehingga agensi menyiapkan siasatan,” katanya. – 15 April, 2023.
Komen