WAKIL rakyat negeri Montana di AS mengundi semalam untuk menyekat sepenuhnya TikTok sekaligus memulakan pertikaian perundangan berkaitan tuduhan yang aplikasi popular itu adalah alat Parti Komunis China.
Rang undang-undang itu, yan pertama di negeri AS, diluluskan dengan 54 undi menyokong dan 43 menentang, akan bertindak sebagai ujian perundangan untuk sekatan seluruh negara ke atas platform milik China itu, gesaan yang semakin lantang disuarakan wakil rakyat di Washington.
Jika ia ditandatangani oleh gabenor Montana, ia akan memulakan pertikaian perundangan antara TikTok dan negeri itu di mahkamah.
Menjelang pengundian itu, jurucakap TikTok berkata kesahihan rang undang-undang itu akan akhirnya “ditentukan oleh mahkamah.”
“Kami akan terus melawan demi pengguna TikTok dan pencipta kandungan di Montana yang kehidupan dan hak Perkara pertama diancam oleh tindakan keterlaluan kerajaan ini,” tambah jurucakap.
Di bawah usul itu, Apple dan Google perlu mengeluarkan TikTok daripada kedai aplikasi mereka dan syarikat berdepan denda harian sebanyak AS$10,000 (RM44,000) jika didapati tidak mematuhinya.
Sekatan itu akan mula berkuatkuasa pada 2024, tetapi ia pastinya berdepan cabaran perundangan memandangkan ia tidak pernah berlaku di AS.
Ia adalah pertikaian terbaru dalam kemelut antara TikTok dan banyak kerajaan Barat, dengan aplikasi itu sudah diharamkan digunakan dalam peranti milik kerajaan di AS, Kanada dan beberapa buah negara Eropah.
Walaupun TikTok sangat popular, ia juga berdepan tekanan White House supaya berpisah daripada pemilik Chinanya atau menghentikan operasinya di Amerika.
Aplikasi itu dimiliki syarikat China, ByteDance dan dituduh ramai politikus AS mengikut telunjuk kerajaan China dan digunakan untuk perisikan oleh Beijing, tuduhan yang berulang kali dinafikan syarikat itu.
Ketika membentangkan RUU itu pada Khamis, wakil rakyat Montana Brandon Lee berkata Parti Komunis China “berselindung di sebalik TikTok untuk merisik warga Amerika.”
Usaha menyekat TikTok oleh Montana berlaku ketika aplikasi itu turut berdepan tekanan di peringkat kebangsaan, termasuk satu RUU yang boleh memberikan kuasa besar kepada White House untuk menyelia syarikat teknologi China.
Bulan lepas CEO TikTok Shou Zi Chew berdepan sesi soal jawab selama lima jam daripada wakil rakyat daripada kedua-dua sisi politik berkaitan kaitan aplikasi itu dengan China dan risiko bahaya kepada remaja. – AFP, 15 April, 2023.
Komen