Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS


RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini walaupun mata wang Amerika Syarikat (AS) itu rendah yang terus merosot berikutan jangkaan yang tinggi untuk kitaran kenaikan kadar Rizab Persekutuan (Fed) AS dihentikan seketika dalam persekitaran petunjuk inflasi yang terkawal, kata penganalisis.

Pada 6 petang mata wang tempatan merosot kepada 4.4000/4025 berbanding dolar AS daripada 4.3995/4025 pada Khamis.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes memberitahu Bernama dolar AS berada pada kedudukan yang kurang menggalakkan berikutan gabungan campuran dasar Fed, metrik inflasi yang rendah dan prospek berhati-hati dalam minit Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada Mac.

“Malam semalam penurunan mengejutkan untuk Indeks Harga Pengeluar (IHPR) AS memberi keyakinan kepada pelabur bahawa kejutan inflasi pasca pandemik berakhir dan membolehkan Fed menghentikan seketika kenaikan kadar selepas jangkaan kenaikan 25 mata asas pada Mei.

“Oleh itu ringgit pada mulanya diniagakan kukuh. Bagaimanapun risiko geopolitik yang meningkat terhadap Taiwan apabila AS dan China berselisih faham mewujudkan kegelisahan melalui pasaran pertukaran asing serantau. Mata wang tempatan melepaskan kenaikan harian untuk ditutup rendah berbanding dagangan pembukaan,” katanya.

Sementara itu ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia merosot berbanding euro kepada 4.8660/8687 daripada 4.8500/8533 pada Khamis, rendah berbanding pound Britain kepada 5.5031/5062  daripada 5.5047/5084, bagaimanapun meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.3208/3229 daripada 3.3034/3059 semalam. 

Mata wang tempatan juga kebanyakannya rendah berbanding mata wang Asean.

Ia merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 299.1/299.5 daripada 298.3/298.7 pada Khamis dan berkurangan berbanding baht Thailand kepada 12.9070/9208 daripada 12.8942/9083 sebelum ini.

Mata wang tempatan turut rendah berbanding peso Filipina kepada 7.97/7.98 daripada 7.96/7.97 pada Khamis, bagaimanapun naik berbanding dolar Singapura kepada 3.3183/3204 daripada 3.3194/3219 semalam. – Bernama, 14 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen