Syarikat pengimport telur saman Azmin Ali


Mohamed Azmin Ali disaman berhubung ucapan berbaur fitnah yang mendakwa syarikat pengimport telur memperoleh kontrak secara rundingan terus daripada kerajaan untuk mengimport telur dari India. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 April, 2023.

SEBUAH syarikat pengimport telur memfailkan saman terhadap bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Mohamed Azmin Ali berhubung ucapan berbaur fitnah yang mendakwa syarikat itu memperoleh kontrak secara rundingan terus daripada kerajaan untuk mengimport telur dari India.

J&E Advance Tech Sdn Bhd selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Law Chambers of Han & Zi di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 12 April lepas dengan menamakan Mohamed Azmin sebagai defendan tunggal.

Dalam pernyataan tuntutan syarikat itu mendakwa defendan membuat dan menerbitkan satu ucapan memfitnah syarikat berkenaan dalam “Ceramah Perdana: Solidariti Menentang Kezaliman” di sebuah dewan di Taman Melewar di Kuala Lumpur pada 11 Mac lepas.

Dakwa plaintif ucapan itu turut diterbitkan semula oleh media cetak dan elektronik di dalam dan luar negara termasuk YouTube.

Menurut J&E Advance, walaupun nama syarikat itu tidak dinyatakan di dalam ucapan memfitnah tersebut namun ucapan berkenaan jelas merujuk kepada plaintif kerana ia satu-satunya syarikat Malaysia yang dibenarkan mengimport telur dari India seperti diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu dalam sidang Parlimen pada 8 Mac lepas.

Plaintif mendakwa kenyataan fitnah tersebut diterbitkan atau diterbitkan semula oleh defendan walaupun mempunyai pengetahuan syarikat berkenaan hanya mengimport telur dari India sebagai langkah sementara untuk membekal pasar raya tempatan, pasar mini dan pasar raya semasa musim perayaan bagi membantu menyelesaikan masalah kekurangan telur yang serius di pasaran mulai Oktober 2022.

Menurut syarikat itu kenyataan tersebut tidak benar dan melampau yang mana syarikat berkenaan tidak pernah terlibat dan tidak mempunyai kaitan dengan apa-apa rundingan terus dengan Kerajaan Malaysia.

Plaintif mendakwa tindakan Mohamed Azmin itu berniat jahat dan bertujuan untuk menjatuhkan imej serta reputasi plaintif selain untuk mencapai publisiti murahan serta kepentingan politik.

Sehubungan itu plaintif memohon injunksi menghalang defendan, ejen atau pekerja, mengucap atau menerbitkan ucapan fitnah tersebut serta memohon ganti rugi am, pampasan, teruk, teladan, faedah dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu peguam Elyse Ng Zi Qian yang mewakili plaintif dalam kenyataan hari ini berkata saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 16 Mei ini di hadapan Timbalan Pendaftar Rozana Husin. – Bernama, 14 April, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen