Perikatan selesai agih kerusi PRN di 4 negeri, kata Sanusi


Ketua Pengarah Pilihan Raya PN Muhammad Sanusi Md Nor berkata proses pengagihan kerusi di semua enam negeri yang akan mengadakan PRN dijangka selesai Ahad ini. – Gambar Facebook, 14 April 2023.

PERIKATAN Nasional (PN) dijangka menyelesaikan pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri yang akan mengadakan pilihan raya negeri (PRN) tahun ini, pada Ahad ini.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN Muhammad Sanusi Md Nor berkata ketika ini hanya beberapa kerusi DUN di dua negeri iaitu Selangor dan Negeri Sembilan yang masih belum selesai perbincangan dalam kalangan parti komponen PN.

“Ada sedikit lagi yang masih belum selesai di Selangor dan Negeri Sembilan yang melibatkan dua atau tiga kerusi (DUN), tetapi bagi Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu semuanya sudah selesai.

“Sebelum ini, kita bagi masa dekat Selangor dan Negeri Sembilan tempoh seminggu (untuk selesaikan perbincangan kerusi) jadi Ahad ini akan berjumpa balik dengan pimpinan PN … insya-Allah Ahad ini selesai,” katanya di Alor Setar malam tadi.

Sanusi yang juga menteri besar Kedah berkata kerusi-kerusi yang masih belum selesai itu bukanlah “kerusi panas”, tetapi belum dapat diputuskan kerana belum mencapai sepakat. 

Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata perbincangan agihan kerusi DUN dalam kalangan parti komponen PN telah mencapai 80%.

Beliau berkata perbincangan pusingan pertama telah berjalan dengan lancar dan pembahagian kerusi telah dibuat secara muafakat melibatkan seluruh parti komponen PN. – Bernama, 14 April 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen