Individu bocor dokumen sulit AS dakwa berkhidmat di pangkalan tentera AS


SEORANG lelaki yang didakwa terlibat dalam kebocoran dokumen sulit Amerika Syarikat mendakwa dia memperoleh dokumen itu di pangkalan tentera tempat dia bekerja, lapor Sputnik.

Akhbar The Washington Post melaporkan pada Khamis, memetik ahli ‘chatroom’ bahawa bahan itu - yang belum disahkan oleh kerajaan AS - kali pertama didedahkan dalam ruang sembang di platform sosial Discord.

‘Chatroom’ itu terdiri daripada 20 orang kebanyakannya lelaki yang tidak begitu memberi perhatian apabila seorang pengguna yang menggunakan nama panggilan “OG” menyiarkan mesej yang mengandungi akronim dan jargon “pelik” pada tahun lalu, lapor akhbar itu.

Laporan itu memaklumkan mesej itu kelihatan seperti “hampir transkrip sepatah demi sepatah” dokumen risikan sulit yang diperoleh OG dari pangkalan tentera yang tidak dinamakan, sambil menambah kebocoran itu bukanlah suatu  yang “tidak disengajakan.”

“Dia (pelaku) seorang yang bijak. Dia tahu apa yang dia lakukan apabila dia menyiarkan dokumen-dokumen ini. Ia bukan sebarang jenis kebocoran yang tidak disengajakan,” menurut seorang ahli ‘chatroom’ dipetik akhbar itu.

Minggu lalu media melaporkan sejumlah dokumen sulit bocor dalam talian mendedahkan risikan terhadap musuh dan sekutu, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pegawai AS yang berpendapat keadaan itu mungkin membahayakan sumber AS dan menjejaskan hubungan antarabangsa. 

Semua dokumen yang bocor dilaporkan dalam cetakan berwarna dengan teks, grafik atau peta, dan boleh diakses oleh kira-kira 1,000 orang sebelum kejadian.

Pada Jumaat lalu Biro Penyiasatan Persekutuan AS memulakan siasatan mengenai sumber kebocoran itu. – Bernama, 13 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen