SPRM tahan pembantu menteri sumber manusia


Kalidevi Mogan Kumarappa

SPRM menahan pembantu kepada Menteri Sumber Manusia V Sivakumar bagi membantu siasatan berhubung pengambilan pekerja asing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 April 2023.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan pembantu kepada Menteri Sumber Manusia V Sivakumar bagi siasatan kes rasuah berkait pengambilan pekerja asing.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dalam maklum balas ringkas kepada The Malaysian Insight mengesahkan pembantu menteri itu ditahan bersama beberapa individu lain.

Pegawai Sivakumar itu ditahan semasa serbuan di Kementerian Sumber Manusia (KSM) pagi ini.

Serbuan itu susulan dakwaan konflik kepentingan melibatkan individu yang terbabit dengan penubuhan agensi pengambilan pekerja asing bagi mendapatkan kelulusan daripada KSM.

Turut ditahan suspek yang dipercayai ejen pengambilan pekerja asing.

Difahamkan, mereka ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus tiba dari negara jiran.

Menurut sumber KSM pula, pegawai kanan itu dipercayai sudah terbabit dalam sindiket pengambilan pekerja asing itu sejak setahun lalu.

Sumber mendedahkan, suspek merupakan individu penting dalam sindiket itu kerana mempunyai jawatan penting dalam kementerian.

“Pembabitannya sebelum Sivakumar dilantik menjadi menteri dan bukan lantikan baru,” katanya. – 13 April 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen