PAS mohon batal saman Mujahid berhubung dakwaan sokong LGBT 


Mujahid Yusof memfailkan saman pada 15 Disember tahun lepas, mendakwa PAS dengan niat jahat menjatuhkan maruah, mengaibkan dan memfitnahnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 April, 2023.

PAS memohon untuk membatalkan saman fitnah yang difailkan Mujahid Yusof terhadap parti itu berhubung dakwaan naib presiden Amanah berkenaan menyokong budaya songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

PAS yang diwakili setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan, memfailkan permohonan itu menerusi Tetuan Tengku Amalin & Faizi di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, pada 15 Februari lepas.

Permohonan itu dibuat atas alasan Mujahid selaku plaintif gagal mendedahkan apa-apa kausa tindakan yang munasabah terhadap parti berkenaan.

Peguam Noorazmir Zakaria mewakili Mujahid ketika dihubungi berkata permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh pada 21 Jun ini.

Mujahid memfailkan saman itu pada 15 Disember tahun lepas, mendakwa pada 16 Oktober 2022, defendan (PAS) dengan niat jahat menjatuhkan maruah, mengaibkan dan memfitnahnya dengan membuat atau menerbitkan kenyataan fitnah di ruangan status akaun Facebook parti itu.

Mujahid berkata kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud beliau membenarkan, menyokong atau menerima masyarakat khususnya yang beragama Islam terlibat aktiviti LGBT dan perzinaan.

Menurut Mujahid, kenyataan fitnah itu menyebabkannya mengalami tekanan perasaan selain merosakkan perwatakan, nilai moral, pegangan agama, keupayaan dan kredibiliti plaintif sebagai bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama).

Sehubungan itu, beliau memohon suatu perintah supaya PAS menarik balik serta memadam kenyataan fitnah dan gambar plaintif itu dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman selain memohon ganti rugi am, teladan dan teruk.

Menerusi pernyataan pembelaan, PAS mendakwa pernyataan tuntutan plaintif adalah cacat dan tidak sah kerana plaintif gagal menamakan pelaku kesalahan yang mempunyai kawalan serta melakukan penerbitan bagi artikel berkenaan. – Bernama, 13 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen