PUTRAJAYA perlu campur tangan untuk menghentikan kempen aktif dalam talian yang memburukkan Rohingya dan melindungi mereka daripada dicederakan secara fizikal, kata Lawyers for Liberty.
Pengarahnya Zaid Malek berkata terdapat peningkatan sentimen xenofobia di media sosial terhadap Rohingya.
“Kandungan xenofobia yang keterlaluan tersebar dan seruan keganasan yang biasa mengiringinya mesti ditangani segera oleh Komunikasi Multimedia dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Jika ia meningkat kepada risiko kecederaan fizikal, polis mesti campur tangan dan tindakan jenayah diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.
“Usaha ini akan lebih bermakna daripada membelanjakan sumber bagi memburu orang yang kononnya mencederakan reputasi dan integriti kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zaid berkata kandungan sebegitu dilihat tidak berhenti, dengan kerajaan “senyap dan tidak proaktif”.
Beliau berkata kerajaan nampaknya lebih tertumpu untuk membendung kritikan dalam talian terhadap kerajaan dan pemimpinnya.
Beliau berkata Rohingya adalah pelarian yang terpaksa meninggalkan negara kerana takut terhadap ancaman nyawa mereka.
Beliau menambah mereka terpaksa menghadapi gangguan daripada pihak berkuasa penguatkuasaan yang tidak bertanggungjawab, dan kini daripada sentimen xenofobia yang semakin meningkat daripada penduduk.
“Terdapat risiko jika sentimen ini tidak dipadamkan, mereka akan menghadapi ancaman bahaya yang nyata oleh orang yang tersilap melihat mereka sebagai ancaman kepada masyarakat Malaysia.
“Ada keperluan bagi kerajaan menangani serangan tidak wajar yang mereka hadapi, supaya ia tidak menjadi sesuatu yang tidak dapat dipulihkan,” amaran Zaid.
Menurut angka PBB, daripada 182,990 pelarian dan pencari suaka yang kini berada di Malaysia, 58% daripada jumlah itu adalah Rohingya. – 13 April, 2023.
Komen