KOREA Selatan dan Amerika Syarikat (AS) merancang untuk membincangkan kaedah “peningkatan kualitatif” pencegahan Washington terhadap ancaman nuklear dan peluru berpandu yang semakin meningkat dari Korea Utara sempena sidang kemuncak dua hala akhir bulan ini, Kementerian Luar Seoul berkata pada hari Rabu.
Menurut kementerian, Seoul dan Washington akan membincangkan perkara itu semasa lawatan negara Presiden Yoon Suk Yeol ke AS bulan ini.
Yoon dan rakan sejawatannya dari AS, Joe Biden sudah bersedia untuk mengadakan sidang kemuncak di Washington pada 26 April.
Kunjungan itu menandakan lawatan negara pertama oleh seorang presiden Korea Selatan ke AS dalam tempoh 12 tahun, lapor Agensi Berita Yonhap.
Lawatan negara itu dijangka membuka peluang untuk merealisasikan visi perikatan Korea Selatan-AS yang berorientasikan tindakan yang menjaga nyawa dan keselamatan rakyat kedua-dua negara selain menegakkan nilai teras bersama. – Bernama, 12 April, 2023.
Komen