Harga tiket kapal terbang mahal, mencekik rakyat, kata ahli Parlimen BN


Amin Iskandar

Ahli Parlimen Pendang Othman Abdul (BN-Pendang) berkata, walaupun tiket penerbangan dibeli dengan lebih awal, harganya tetap mahal. Othman bertanya, apakah kementerian mempunyai kuasa untuk mengawal syarikat penerbangan tambang murah agar tidak mengenakan harga tiket yang terlalu mahal.– Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mac, 2018.

SEORANG ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mengatakan penerbangan tambang murah di negara ini tidaklah murah dan “mencekik rakyat”.

Othman Abdul (BN-Pendang) berkata walaupun tiket penerbangan dibeli dengan lebih awal, harganya tetap mahal.

“Penerbangan tambang murah yang tidak murah, mencekik rakyat. Kuala Lumpur, Subang ke Alor Setar, RM700 satu perjalanan.

“Padahal harga biasa hanya RM190 satu perjalanan,” katanya dalam soalan tambahan di Dewan Rakyat hari ini.

Othman bertanya, apakah kementerian mempunyai kuasa untuk mengawal syarikat penerbangan tambang murah agar tidak mengenakan harga tiket yang terlalu mahal.

Timbalan Menteri Pengangkutan Ab Aziz Kaprawi berkata kerajaan akan menetapkan harga siling untuk penerbangan domestik bagi mengatasi harga tiket kapal terbang yang mahal terutamanya pada musim perayaan.

Beliau berkata kajian penetapan harga tambang yang dilaksanakan itu dijangka selesai sebelum pertengahan tahun ini.

Katanya, kerajaan secara am dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) secara khusus tidak menetapkan sebarang peraturan berhubung penetapan harga tambang penerbangan dan membenarkan syarikat penerbangan untuk menetapkan harga tambang berdasarkan keputusan komersial mereka.

Bagaimanapun beliau berkata, MAVCOM mempunyai kuasa untuk mengawal selia perkara-perkara yang berkaitan persaingan di kalangan syarikat penerbangan.

“Dalam hubungan ini syarikat-syarikat penerbangan negara akan menetapkan kadar tambang penerbangannya dengan mengambil kira permintaan pasaran, keadaan ekonomi serta faktor-faktor lain seperti bahan api dan kos operasi.

“Disebabkan terdapat aduan yang diterima berhubung harga tambang yang tinggi pada musim perayaan, maka pihak MAVCOM telah diminta untuk melaksanakan kajian penetapan harga tambang yang dijangka selesai sebelum pertengahan tahun 2018.

“Sehubungan dengan itu, MAVCOM sedang merangka cadangan menetapkan harga siling bagi tambang sektor domestik,” katanya menjawab soalan Oscar Ling (DAP-Sibu) yang bertanyakan tentang apakah langkah yang akan diambil kerajaan untuk mengatasi harga tiket kapal terbang yang mahal bagi KL-Sibu pada waktu musim perayaan.

Ab Aziz juga menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan dan membeli tiket lebih awal bagi mengelak daripada dikenakan bayaran tambang yang lebih mahal. – 19 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • diharapkan pihak kerajaan melakukan sesuatu bg menangani masalah ini..kerana ia memberi bebanan kepada rakyat,..klu harganya terus mahal baik buang slogan penerbangan tambang murah tu..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan