ISPACE Jepun sudah bersedia untuk mendaratkan kapal angkasa persendirian pertama di bulan akhir bulan ini.
Dalam pencapaian yang jarang berlaku selepas penerokaan bulan selama enam dekad, kapal angkasa Hakuto-R dijangka tiba ke destinasinya pada 25 April, menurut syarikat itu pada Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
“Semuanya sudah diatur. Saya tidak sabar untuk menyaksikan hari bersejarah ini yang menandakan permulaan era baharu misi ke bulan secara komersial,” menurut kenyataan pengasas dan ketua eksekutif Ispace, Takeshi Hakamada.
Roket Falcon 9 dari SpaceX milik Elon Musk berlepas pada Disember dari Cape Canaveral di Florida, untuk pergerakan Hakuto-R ke bulan.
Jika semuanya berjalan lancar, kapal angkasa itu akan mendarat secara perlahan-lahan di kawasan yang dipanggil Atlas Crater kira-kira 1640 GMT pada 25 April.
Jika keadaan berubah, beberapa tapak lain sudah dikenal pasti untuk pendaratan alternatif pada tarikh lain, termasuk pada 26 April, 1 Mei dan 3 Mei.
Bagi mengurangkan bahan api, kapal berekenaan mengambil laluan yang lebih panjang dan lebih cekap tenaga ke bulan menggunakan bumi dan graviti matahari untuk pendorongan.
Hakuto-R memasuki orbit bulan pada bulan lepas.
Kapal angkasa itu berukuran 2.3 meter tinggi dan 2.6 meter lebar setelah kakinya dilipat.
Ia mampu membawa muatan kira-kira 30 kilogram termasuk rover kecil dari Emiriah Arab Bersatu dan robot dua roda yang lebih kecil daripada agensi angkasa Jepun Jaxa dan pembuat mainan Jepun Tomy.
Kesemuanya dijadual ditempatkan Altas Crater.
Dua pesaing dari Amerika Syarikat, syarikat Astrobotic dan Intuitive Machines juga merancang misi ke bulan mereka sendiri.
Setakat ini hanya program yang dilaksanakan oleh kerajaan sahaja yang berjaya mendarat di bulan. – Bernama, 12 April, 2023.
Komen