KIRA-KIRA separuh daripada keluarga di Amerika Syarikat (AS) terjejas akibat insiden berkaitan senjata api manakala satu daripada lima berkata mereka secara peribadi telah diancam dengan pistol, menurut tinjauan baru-baru ini.
Tinjauan oleh Yayasan Keluarga Kaiser itu juga mendapati kira-kira 54% orang dewasa AS berkata mereka atau ahli keluarga pernah mengalami insiden berkaitan senjata api, menurut Agensi Anadolu.
Secara peribadi 21% diancam dengan pistol manakala 19% berkata seorang ahli keluarga mereka dibunuh dengan pistol, termasuk kematian akibat bunuh diri.
Kira-kira 17% responden berkata mereka sendiri menyaksikan seseorang ditembak, 4% menunjukkan mereka menggunakan pistol untuk mempertahankan diri dan 4% lagi cedera dalam tembakan.
Tinjauan itu mendapati kecederaan dan kematian berkaitan senjata api memberi kesan berkadar tidak seimbang kepada penduduk yang mempunyai warna kulit yang berlainan di AS.
Kira-kira 84% orang dewasa berkata mereka mengambil sekurang-kurangnya satu langkah berjaga-jaga terhadap kemungkinan keganasan senjata api yang menjejaskan keluarga mereka.
Empat daripada 10 orang dewasa didapati tinggal di dalam rumah yang memiliki senjata api.
Tinjauan itu dilakukan selepas kejadian tembakan maut di sekolah di Nashville, Tennessee yang mengorbankan tiga pelajar dan tiga dewasa.
Lebih 11,500 di AS meninggal dunia akibat keganasan senjata api setakat 11 April, Agensi Anadolu memetik kumpulan penyelidik Gun Violence Archive pada Selasa.
Terdapat 147 insiden tembakan besar-besaran di negara ini pada 2023 yang membunuh 72 kanak-kanak. – Bernama, 12 April, 2023.
Komen