GOLONGAN belia dan ekonomi digital adalah pemacu penting untuk memastikan Asia Tenggara menjadi pusat pertumbuhan, menurut Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi.
Beliau berkata ekonomi digital Asean diunjurkan mencecah AS$2 trilion dan menyumbang sekitar 28% kepada keluaran dalam negara kasar rantau ini.
“Potensi ini lebih menjanjikan dengan dividen demografi di mana satu pertiga daripada penduduk Asean adalah belia,” katanya ketika sesi Dialog Belia Asean (AYD) mengenai Pembangunan untuk Matlamat Pembangunan Mampan di Jakarta.
Bagi mengoptimumkan potensi, beliau berkata rantau ini harus menggalakkan inovasi, semangat keusahawanan dan tanggungjawab sosial.
Retno menegaskan bahawa inovasi oleh belia telah memainkan peranan penting dalam mengatasi cabaran dalam pelbagai sektor semasa krisis.
Malah, golongan belia mempunyai peluang yang lebih baik untuk mencipta impak yang bermanfaat kepada rakyat di rantau ini sekiranya semangat keusahawanan terus digalakkan.
“Sebagai agen perubahan, belia mesti memiliki semangat tanggungjawab sosial,” katanya sambil menambah bahawa empati yang tinggi diperlukan untuk memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan, terutamanya masyarakat terpinggir.
Kira-kira 60 belia dari Asean dan Timor Leste menghadiri AYD yang berlangsung selama tiga hari untuk bertukar-tukar idea dan membincangkan mengenai pembangunan digital.
Cadangan mereka akan dikemukakan kepada Pemimpin Asean pada Sidang Kemuncak Asean ke-42 di Labuan Bajo pada 11 Mei. – Bernama, 12 April, 2023.
Komen