Gelombang hijau tak sehebat PRU15, kata penganalisis


Mohd Farhan Darwis

Kemaraan Perikatan Nasional bagi menghadapi PRN terhalang dengan pendakwaan ke atas pemimpinnya dan pembekuan akaun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 April, 2023.

PEMIMPIN Perikatan Nasional (PN) percaya pengaruh gabungan itu mampu memberi saingan dalam pilihan raya negeri kelak namun penganalisis menjangka gelombang itu semakin lemah.

Pemimpin ini berharap momentum digelar gelombang hijau itu akan berterusan bagi membolehkan PN menawan Selangor dan Negeri Sembilan yang mempunyai ramai pengundi Melayu.

Namun kemaraan gabungan ini terhalang dengan tindakan yang dikenakan ke atas pemimpinnya dan juga pembekuan akaun salah satu parti utamanya, Bersatu.

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Mohd Rafiq Mohd Abdullah mengakui tindakan itu mengganggu pergerakan jentera PN dalam pilihan raya negeri kelak.

Hal ini kerana Bersatu hanya mengharapkan sumbangan orang ramai untuk membolehkan parti itu bergerak dan berkempen, katanya kepada The Malaysian Insight.

“Akaun kita dibekukan dan itu sebanyak mengganggu (usaha kempen) dan kita tidak ada bajet, terpaksa harapkan sumbangan daripada rakyat yang kita dapat.

“Gerak kerja kita juga terhad, mengikut kemampuan tapi kita yakin akan harungi dengan jayanya,” kata ketua Bersatu Sungai Buloh itu ketika dihubungi baru-baru ini.

Namun ia tidak akan menghentikan gelombang hijau yang disifatkannya sebagai gerakan kebangkitan orang Melayu dari bawah tanpa campur tangan pemimpin PN, kata Rafiq.

“Gelombang ini bukan kita buat, ini gelombang asal daripada bawah. Kita juga terkejut dengan perkembangan media sosial tentang PN, itu bukan orang kita kenal,” katanya.

Beliau juga menangkis dakwaan bahawa pengaruh di media sosial itu hasil kempen berbayar kerana menurutnya parti tiada dana seperti itu.

“Itu sebenarnya apa yang sedang berlaku di bawah, kami dapat promosi percuma untuk PN. Mereka rakyat biasa bukan pemimpin,” kata Rafiq.

Beliau juga percaya kegagalan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk mencapai kata sepakat dalam rundingan agihan kerusi akan menyebabkan pertembungan tiga penjuru dan membantu PN mendapatkan kelebihan.

“Kita nak 29 kerusi sahaja majoriti mudah untuk bentuk kerajaan. Kalau dapat lebih itu dah bonus. Ada 33 kerusi Melayu boleh menang. Menang majoriti mudah, kita sudah boleh bentuk kerajaan.

“Saya yakin dan percaya kita akan menghadapi tiga penjuru. (Kita) mengenai mereka (PH dan BN). Itulah yang akan berlaku, tiga penjuru, kalau mereka gagal capai kata sepakat.

“Itu lebih menarik, sebab itu akan memberi kemenangan mudah kepada PN di Selangor,” tambahnya.

Sebanyak 33 dari 56 kerusi negeri dengan lebih 60% pengundi Melayu disasarkan di Selangor mempunyai manakala 21 dari 36 lagi kerusi dengan demografi sama di Negeri Sembilan.

Di Selangor, ia termasuk DUN dalam lima kerusi Parlimen yang sudahpun dimenangi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) – Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Tanjong Karang, Kapar, dan Kuala Langat.

Kawasan yang mempunyai sekitar 60% hingga 80% pengundi Melayu ini antara lain meliputi kerusi DUN Batang Kali, Permatang, Meru, Hulu Bernam, Sementa, Selat Kelang dan Sijangkang.

Juga dalam kategori sama kerusi DUN Morib, Sungai Air Tawar, Sabak, Sungai Panjang dan Sungai Burung.

Kerusi seperti Gombak Setia, Batu Tiga, Sijangkang, Paya Jaras, Kota Anggerik, dan Dengkil pula mempunyai bilangan pengundi Melayu lebih 70%.

Majoriti pengundi Melayu paling besar di tiga kerusi – Jeram, Kuang dan Sungai Ramal yang mempunyai lebih 80% pengundi daripada komuniti itu.

Pada masa ini, PH menguasai 40 DUN Selangor dan 20 di Negeri Sembilan yang membolehkannya mengekalkan pentadbiran dalam PRU14.

Penganalisis Ilham Centre bagaimanapun berpendapat gelombang sokongan PN tidak lagi sebesar yang dapat dilihat dalam PRU15.

Ketua pengarah eksekutifnya Hisomuddin Bakar berpendapat kerajaan pemerintah biasanya mempunyai kelebihan sebagai penyandang disebabkan memiliki sumber yang besar.

Mereka juga kebiasaannya mempunyai kelebihan mengatur gerak jentera ke dalam program-program kerajaan, katanya.

Namun, kisah program dan kejayaan pentadbiran kerajaan negeri kebiasaannya tenggelam dalam minum retorik agama dan perkauman, tambah beliau.

“Jika diambil perkiraan undi selaras dan sejajar di peringkat PRU15 maka PN ada kelebihan. Namun jika dilihat sebagai penyandang atau kerajaan PH ada kelebihan.

“Sebab mereka ada sumber ada apa yang mereka boleh jual kejayaan dan apa yang mereka lakukan sepenggal ini… Cuma tak nampak perkara itu diuar-uarkan,” katanya.

Pemerhatian dalam kempen PRU15 menunjukkan fakta dan kisah kejayaan tersebut ditenggelamkan oleh kempen yang berjaya memainkan elemen psikologi pengundi.

“Itu lebih kuat, akhirnya menewaskan naratif kerajaan yang bergantung kepada elemen kejayaan yang kerajaan dilakukan, banding naratif perkauman dan agama, itu politiknya di kawasan Melayu.”

Namun begitu, Hisomuddin berkata, pendakwaan terhadap Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dan pembekuan akaun Bersatu dijangka membantutkan gelombang hijau.

“Berbeza sikit untuk pilihan raya negeri kali ini, pimpinan mereka dah didakwa, kemudian akaun dibekukan jadi sumber mereka tak selumayan PRU15 lalu, itu kekangan perlu dilihat.

“Dulu TikTok dikuasai sepenuhnya PN, tetapi lepas PRU15 semua dah buka mata ada segmen yang diabaikan jadi masing-masing berlumba.

“Sekarang sudah ada saingan di ruangan yang PN dahului dahulu. Parti kerajaan dah mula mencabar dan menguasai.

“Ini akan jadi pembolehubah sejauh mana pengundi di Selangor akan buat keputusan. Peluang masih terbuka di kawasan Melayu,” tambahnya. – 12 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen