Dewan Negara lulus RUU mansuh hukuman mati mandatori


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ramkarpal Singh berkata RUU mansuh hukuman mati tidak akan beri kesan kepada peningkatan kes jenayah berat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 April, 2023.

RANG Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang diluluskan Dewan Negara hari ini tidak akan memberi kesan kepada peningkatan kes-kes jenayah berat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh berkata kadar jenayah tidak hanya bergantung kepada hukuman berat semata-mata, malah tiada kajian menunjukkan hukuman mati sebagai langkah pencegahan jenayah yang terbaik.

“Malah sebelum ini satu jawatankuasa yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara sudah pun membuat kajian mengenai perkara ini dan mendapati kesan pencegahan tidak seperti yang dikatakan. Terdapat banyak faktor yang boleh mempengaruhi kadar berlakunya jenayah seperti aspek ekonomi, sosial dan psikologi.

Kadar jenayah juga adalah bergantung pada keberkesanan penguatkuasaan undang-undang, kefahaman orang ramai mengenai kesan jenayah dan juga peluang untuk melakukan sesuatu jenayah itu,” katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu di Dewan Negara di Kuala Lumpur, hari ini.

RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 diluluskan tanpa pindaan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan 17 Senator.

Ramkarpal berkata RUU itu adalah suatu akta omnibus kerana merangkumi pindaan kepada Kanun Keseksaan, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Akta Senjata 1960, Akta Penculikan 1961, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Perdagangan Strategik 2010 dan Kanun Tatacara Jenayah.

Dewan Negara hari ini turut meluluskan RUU Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 denga lebih suara bersetuju selepas ia dibahaskan 12 Senator.

RUU itu bertujuan mengadakan peruntukan bagi bidang kuasa penyemakan sementara Mahkamah Persekutuan untuk mengkaji semula hukuman mati dan pemenjaraan sepanjang hayat yang dijatuhkan terhadap orang yang disabitkan berikutan pemansuhan hukuman mati mandatori. – Bernama, 11 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen