KOREA Selatan dan Amerika Syarikat (AS) bersetuju dengan penilaian kebanyakan maklumat yang terkandung dalam dokumen Pentagon yang dikatakan bocor adalah palsu.
“Menerusi perbualan telefon antara menteri pertahanan kedua-dua negara pada pagi ini, kedua-dua pihak berpendapat banyak maklumat yang didedahkan itu direka-reka,” kata Timbalan Prinsipal Penasihat Keselamatan Korea Selatan Kim Tae Hyo.
Beliau berkata demikian sebelum berlepas ke Washington untuk mengadakan perbincangan mengenai persiapan lawatan negara Presiden Yoon Suk Yeol ke AS, lapor Agensi Berita Yonhap.
Sempena lawatan itu, Yoon merancang untuk mengadakan perbincangan dengan Presiden AS Joe Biden di White House pada 26 April.
Baru-baru ini, banyak laporan mengenai Washington didakwa mencuri dengar perbualan pegawai keselamatan Korea Selatan.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan Lee Jong Sup yang bercakap dengan Setiausaha Pertahanan AS Lloyd Austin bersetuju kebanyakan maklumat yang didedahkan itu adalah tidak benar, kata Kim.
Beliau menegaskan pihak berkuasa AS akan cuba mencari dalang insiden itu yang dijangkakan mungkin mengambil sedikit masa. – Bernama, 11 April, 2023.
Komen