Darurat Covid-19 ditamatkan di AS


Sejak Covid-19 dikesan pada 2020, sebanyak 1.1 juta rakyat AS dilaporkan maut akibat jangkitan wabak itu termasuk 3,700 terkorban pada minggu lalu. – Gambar AFP, 11 April, 2023.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menamatkan darurat kesihatan Covid-19 yang sebelum ini mengorbankan lebih sejuta mangsa di negara itu akibat wabak berkenaan.

White House berkata Biden menandatangani undang-undang yang diluluskan lebih awal oleh Kongres yang menamatkan darurat nasional berkaitan pandemik Covid-19.

Langkah itu sekali gus menutup aliran pembiayaan mewah untuk ujian Covid-19, vaksin percuma dan langkah kecemasan lain mulai Januari 2020, dalam usaha membebaskan negara ekonomi terbesar dunia itu daripada cengkaman pandemik global.

Pengisytiharan pandemik Covid-19 sebagai darurat diumumkan oleh Presiden ketika itu, Donald Trump pada 13 Mac, 2020.

Darurat itu kemudiannya dilanjutkan beberapa kali oleh Biden sejak beliau memegang jawatan berkenaan pada Januari 2021.

“Pentadbiran Biden mengusahakan vaksin generasi untuk masa akan datang dan langkah lain untuk memerangi mana-mana varian virus pada masa depan.

“Project NextGen akan mempercepat dan memperkemas perkembangan pesat vaksin serta rawatan generasi akan datang melalui kerjasama awam-swasta,” kata White House.

Sejak Covid-19 dikesan pada 2020, sebanyak 1.1 juta rakyat AS dilaporkan maut akibat jangkitan wabak itu termasuk 3,700 terkorban pada minggu lalu dan AS kekal sebagai negara paling teruk terjejas akibat Covid-19. – AFP, 11 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen