LEGENDA pelari pecut Usain Bolt akan menghadiri Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia bulan depan untuk menyaksikan pertandingan akhir 100m, menurut bekas juara dunia Jamaica, Yohan Blake.
Bolt, 31, yang bersara daripada dunia olahraga selepas Kejohanan Dunia di London pada Ogos, sedang sibuk membuat persiapan dalam mengintai pasukan bola sepak dan juga bekerja dengan pasukan kriket Australia.
Blake, salah seorang bintang di kejohanan yang akan berlangsung pada 4-15 April tiba di Australia semalam dan memberitahu wartawan bahawa juara Olimpik lapan kali dan pemegang rekod dunia dalam acara 100m dan 200m itu akan tiba untuk menyaksikan final 100m.
“Dia ada di Jamaica sebelum saya bertolak ke sini. Dia kata, ‘Bila saya datang ke Australia, dan kalau kamu tidak menang di sana, akan ada masalah’,” kata Blake kepada akhbar Brisbane, Courier Mail semalam.
“Saya tidak ada pingat Komanwel. Sangat penting bagi saya memenanginya. Usain Bolt meninggalkan legasinya untuk kami dan itu yang kami mahu lakukan,” kata Blake.
Blake, 28, lelaki kedua terpantas, terlepas untuk menyertai Sukan Komanwel Glasgow 2014 kerana mengalami kecederaan. – AFP, 19 Mac, 2018.
Komen