Kekurangan pekerja rencat pemulihan pelancongan Vietnam 


Sektor pelancongan Vietnam adalah antara yang paling terjejas teruk di dunia berikutan pandemik Covid-19 dan sukar untuk pulih kerana masalah kekurangan pekerja.– Gambar EPA, 11 April, 2023.

PENGUSAHA pelancongan Vietnam mendapati sukar untuk mendapatkan pekerja bagi menampung permintaan industri pelancongan yang kembali rancak selepas suram akibat pandemik Covid-19, lapor media tempatan pada Isnin.

Sektor pelancongan Vietnam adalah antara yang paling terjejas teruk di dunia, menyaksikan hampir satu pertiga pekerja dalam industri ini hilang pekerjaan, menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa.

Menurut Pentadbiran Pelancongan Kebangsaan sebanyak 44% pekerja yang mempunyai pengalaman lima hingga 10 tahun dan 90% daripada mereka yang mempunyai ijazah sarjana, beralih arah ke bidang lain yang kurang terjejas akibat pandemik.

Ramai pengusaha pelancongan merancang untuk menangani isu pengambilan pekerja pada penghujung tahun lalu, namun hanya berjaya mengisi 60% jawatan setakat tahun ini.

Naib pengerusi Persatuan Pelancongan Vietnam Cao Thi Ngoc Lan berkata sektor pelancongan kini memerlukan lebih 485,000 pekerja untuk menjalankan sekurang-kurangnya 70% daripada kapasiti penuh. 

Beliau berkata bilangan pekerja dalam industri itu diramalkan meningkat kepada 800,000 menjelang 2025 dan menokok lagi kepada satu juta menjelang 2030, menghasilkan purata 60,000 kekosongan setiap tahun. 

Vietnam menyasarkan untuk menerima lapan juta ketibaan pelancong asing yang dijangka menjana  pendapatan kira-kira AS$27 bilion tahun ini.– Bernama, 11 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen