VLADIMIR Putin mendapat kemenangan besar dalam pilihan raya presiden Rusia semalam, memberikan sekurang-kurangnya enam tahun lagi memegang kuasa ketika hubungan Rusia dengan Barat semakin tegang.
Putin, yang memerintah Rusia selama hampir dua dekad, merekodkan pencapaian terbaiknya dalam pilihan raya dengan lebih 76% undi, menewaskan pembangkang.
Pemerhati melaporkan penipuan kertas undi dan kes lain berlaku ketika Kremlin mendesak orang ramai keluar mengundi untuk memberikan kuasa kepada Putin untuk penggal keempat.
Putin melawan tujuh calon lain, tetapi pengkritik tegarnya Alexei Navalny dilarang mengundi atas alasan undang-undang.
“Saya nampak keyakinan dan harapan rakyat kita menerusi keputusan ini,” kata Putin dalam ucapannya di hadapan penyokongnya di dataran di Kremlin selepas keputusan pilihan raya diumumkan.
Kira-kira 107 juta rakyat Rusia layak mengundi.
Pihak berkuasa menggunakan pelbagai cara untuk menggalakkan orang ramai keluar mengundi. Antaranya ialah pertandingan swafoto, hadiah, festival makanan dan penghibur kanak-kanak dianjurkan di pusat mengundi untuk mencipta suasana keraian.
Tetapi kakitangan syarikat swasta dan kerajaan dilaporkan diberi tekanan untuk mengundi, sementara pelajar diugut akan berdepan masalah dalam peperiksaan jika tidak turut serta, menurut akhbar bebas Novaya Gazeta.
Menurut data suruhanjaya pilihan raya, dengan 90% pengundi keluar mengundi, Putin menerima 76.4%, terlalu jauh berbanding pesaing terdekatnya, calon Parti Komunis Pavel Grudinin yang mendapat 12%.
Vladimir Zhirinovsky yang ultra nasionalis mendapat 6%, bekas penyampai rancangan realiti TV Ksenia Sobchak mendapat 1.5% dan calon lain kurang daripada 1%. – AFP, 19 Mac, 2018.
Komen