Setiausaha politik MB nafi keluasan tanah rizab Melayu Selangor turun mendadak 


Setiausaha politik kepada menteri besar Selangor Juwairiya Zulkifli berkata dakwaan Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Ahmad Yunus Hairi itu fitnah kerana tidak menepati fakta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 April 2023.

DAKWAAN PAS Selangor bahawa jumlah keluasan tanah rizab Melayu di negeri itu turun secara mendadak daripada 2019 hingga 2021 adalah fitnah kerana ia tidak menepati fakta.

Setiausaha politik kepada menteri besar Selangor Juwairiya Zulkifli berkata secara faktanya keluasan tanah rizab Melayu Selangor berjumlah 160,233.86 hektar (395,946.50 ekar) pada tahun 2013.

“Sejak PAS tidak lagi menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri Selangor mulai 2018, keluasan tanah rizab Melayu Selangor telah meningkat secara strategik kepada 162,657.71 hektar (401,935.96 ekar) pada 2019 dan sebanyak 163,138.24 hektar (403,123.39 ekar) pada 2021.

“Ini bermaksud keluasan tanah rizab Melayu di bawah pentadbiran Pakatan Harapan Selangor telah meningkat sebanyak 2,904.38 hektar (7,176.89 ekar) termasuk pewartaan di kawasan Hilir Tambahan-Hulu Langat, Kundang-Kuala Langat, Selayang Pindah-Gombak, Ulu Semenyih-Hulu Langat dan Bukit Cherakah-Petaling,” katanya dalam kenyataan.

Adun Bukit Melawati itu berkata kerajaan Selangor terus komited untuk memelihara keluasan tanah rizab Melayu agar dipantau secara rapi melalui Pejabat Tanah dan Galian Selangor.

Tegasnya, PAS wajar memohon maaf kerana cuba memfitnah dan menipu warga Selangor serta harus muhasabah serta mengelak daripada amalan tercela dengan menyebar fitnah, terutamanya pada bulan Ramadan ini.

Juwairiya berkata demikian mengulas berhubung dakwaan Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Ahmad Yunus Hairi yang mendakwa jumlah keluasan tanah rizab Melayu telah menurun secara mendadak daripada 2019 hingga 2021 sebanyak 3,200 hektar di sebuah portal berita hari ini. – Bernama, 10 April 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen