Kemenangan PRU14 dalam genggaman Najib


The Malaysian Insight

Perdana Menteri Najib Razak yakin Umno dan Barisan Nasional mampu berjaya memenangi PRU14 menerusi sekutu baharunya, PAS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mac, 2018.

PERDANA Menteri Najib Razak memiliki semuanya untuk melangkah ke pilihan raya pada penghujung April ini.

Beliau ada pakar asing yang berpengalaman menggunakan big data dan bahan analisis lain untuk membantu ahli politik luar negara untuk memenangi Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau ada kuasa penyandang jawatan yang membenarkannya menggunakan jentera pilihan raya di kawasan DUN dan media untuk menyebarkan tentang pemberian gula-gula dan jika diperlukan, dapat memberi inspirasi atau menanamkan rasa takut di hati rakyat Malaysia.

Beliau pemimpin tertinggi dalam Umno dan tidak perlu risau kalau ada orang kuat parti itu cuba merendahkannya. Zahid Hamidi dan Hishammuddin Hussein terlalu lemah untuk mencabar kepimpinannya.

Tetapi sebab utama kenapa Najib dan penasihatnya percaya bahawa kejayaan akan menjadi milik mereka pada PRU14 ialah kerana hubungan baik dan kuat antara presiden Umno itu dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Persahabatan mereka akan memberikan apa yang Umno dan Barisan Nasional (BN) sangat dambakan: pertandingan tiga penjuru di semua kerusi di Semenanjung Malaysia.

Sekurang-kurangnya di atas kertas, dengan meletakkan calon di 130 kerusi persekutuan, PAS berharap dapat berperananan sebagai pengacau dan menarik undi daripada calon Melayu yang mungkin akan pergi kepada Pakatan Harapan (PH).

Paling tidak pun, kepimpinan PAS tidak mahu ahli akar umbi mereka ikut hati dan undi calon PH. Mereka percaya senario itu akan berlaku jika berlaku pertandingan satu lawan satu antara BN dan PH.

Jadi, arahan sudah pun dihantar oleh kepimpinan PAS ke semua bahagian untuk meletakkan calon dan memastikan berlaku pertandingan tiga penjuru di seluruh Semenanjung Malaysia.

Apa yang mendorong strategi Hadi?

Kombinasi antara kebencian terhadap PH dan kepercayaan bahawa kemenangan BN akan memastikan ketuanan politik Melayu berterusan dan terus meletakkan bukan Islam hanya di pinggiran.

Juga keyakinan bahawa akar umbi Melayu Islam akan menyokong penyatuan seumpama itu untuk jadi kerajaan berbanding pakatan yang lebih majmuk dan kepelbagaian dalam kepercayaan politiknya.

Dan kepercayaan bahawa kebanyakan rakyat Malaysia tidak peduli dengan pakatan Dr Mahathir Mohamad-Anwar Ibrahim menyertai PRU14.

Adakah ia akan berjaya?

Angka menunjukkan PH dengan Bersatu pimpinan Dr Mahathir dan Amanah menghadapi laluan sukar untuk memenangi akar umbi Melayu Islam berbanding Umno dan PAS yang lebih dikenali.

Itu saja sudah memadai untuk perdana menteri dan sekutu baharunya, Hadi Awang. – 19 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • ABCD GST Harga Barang Naik Lagi

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan

  • insyaAllah kemenangan akan terus berpihak kepada BN kerana BN telah menjalankan tugas dgn baik..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan