8 orang disahkan hilang dalam runtuhan bangunan di Perancis 


Anggota pasukan penyelamat masigh bertungkus lumus mengesan lapan orang yang dilaporkan masih hilang dalam runtuhan bangunan di Marseille, Perancis. – Gambar Youtube, 10 April, 2023.

ANGGOTA pasukan penyelamat di bandar Marseille di Perancis bergegas mencari lapan orang yang disahkan hilang pada Ahad selepas sebuah bangunan pangsapuri runtuh berikutan letupan besar, kata pegawai.

Lima orang dilaporkan mengalami kecederaan ringan dalam letupan yang memusnahkan blok empat tingkat itu pada kira-kira 12:40 pagi (2240 GMT Sabtu).

Punca letupan masih belum diketahui, tetapi penyiasat sedang melihat kemungkinan berpunca daripada kebocoran gas, selepas laporan daripada penduduk tempatan mengenai bau gas.

Petugas pasukan kecemasan meneruskan operasi menyelamat pada waktu malam dengan bantuan kren dan lampu, tetapi kebakaran berterusan di bawah runtuhan menyukarkan kerja mereka.

Anggota bomba berkata keadaan itu menyukarkan untuk mengerahkan anjing pengesan, yang masih belum menemui mangsa.

Pendakwa raya tempatan Dominique Laurens memberitahu pemberita bahawa lapan orang “tidak menjawab panggilan telefon”, mengatakan adalah mustahil setakat ini untuk mengenal pasti punca runtuhan.

Letupan gas adalah “jelas” merupakan antara kemungkinan berlakunya kejadian itu, tambahnya.

Beberapa saksi menjelaskan letupan itu kepada AFP.

“Saya sedang tidur dan berlaku letupan besar yang benar-benar menggegarkan bilik. Saya terkejut terjaga seolah-olah saya bermimpi,” kata Saveria Mosnier, yang tinggal di jalan berhampiran kejiranan La Plaine.

“Kami serta merta terhidu bau gas yang kuat, kami masih dapat menghidunya pagi ini,” tambahnya.

Timbalan Datuk Bandar Yannick Ohanessian memberitahu wartawan di tempat kejadian, “beberapa saksi menghubungi kami pagi ini untuk menyatakan terdapat bau gas yang mencurigakan”.

Datuk Bandar Marseille Benoit Payan mengucapkan terima kasih kepada pekerja penyelamat di Twitter dan berkata mereka “bertekad” untuk mencari mangsa yang terselamat. “Kita mesti berpegang pada harapan,” katanya.

Lebih 100 anggota bomba sedang memadamkan kebakaran di runtuhan bangunan itu, dipercayai mempunyai satu apartmen di setiap tingkat.

Menteri Dalam Negeri Gerald Darmanin, yang melawat tempat kejadian, berkata ia akan mengambil masa “beberapa jam… mungkin lebih lama” sebelum api padam.

Dua bangunan bersebelahan mengalami kerosakan teruk, dengan satu runtuh pada sebelah petang tanpa mencederakan mana-mana penyelamat.

Hampir 200 penduduk telah dipindahkan dan 50 telah meminta untuk ditempatkan semula dengan segera. – AFP, 10 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen