Delegasi Arab Saudi adakan rundingan dengan pemberontak 


Perjanjian itu mendorong harapan untuk kemajuan dalam menamatkan konflik Yaman yang telah meragut ratusan ribu nyawa.– Gambar EPA, 10 April, 2023.

DELEGASI Arab Saudi berada di ibu negara Yaman pada Ahad bagi mengadakan rundingan gencatan senjata baharu dengan pemberontak Huthi yang mengawal bandar itu, kata diplomat, ketika Riyadh mencari jalan keluar daripada perang.

Media Huthi menunjukkan pemimpin politik kumpulan itu, Mahdi al-Mashat, berjabat tangan dan bertemu dengan pegawai Saudi termasuk duta kerajaan ke Yaman, Mohammed Al-Jaber.

Pegawai Arab Saudi “di Sanaa untuk membincangkan langkah ke hadapan bagi mewujudkan keamanan di Yaman,” kata seorang diplomat Yaman yang berpangkalan di wilayah Teluk.

Pegawai Saudi tidak menjawab permintaan untuk komen.

Ketibaan delegasi itu kira-kira sebulan selepas China membantu menjalinkan hubungan rapat antara Arab Saudi dan Iran. Perjanjian itu mendorong harapan untuk kemajuan dalam menamatkan konflik Yaman yang telah meragut ratusan ribu nyawa dan mencetuskan apa yang disebut oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai krisis kemanusiaan terburuk di dunia.

Diplomat tertinggi Saudi dan Iran bertemu di Beijing pada hari Khamis, berjanji untuk bekerjasama untuk membawa “keselamatan dan kestabilan” wilayah bergolak.

Pengantara Oman tiba di Sanaa pada Sabtu.

Pemberontak Huthi merampas bandar itu pada 2014, mencetuskan konflik dengan kerajaan yang diiktiraf antarabangsa yang disokong selama lapan tahun oleh gabungan tentera diketuai oleh Riyadh.

Gencatan senjata yang diumumkan kira-kira setahun lalu mengurangkan pertempuran di Yaman, dan ia masih dihormati walaupun secara rasmi tamat pada bulan Oktober.

Sumber kerajaan Yaman yanag enggan identitinya didedahkan, bercakap kepada AFP pada Sabtu mengatakan Arab Saudi dan Huthi pada dasarnya bersetuju untuk gencatan senjata selama enam bulan bagi memberi laluan kepada tiga bulan rundingan untuk mewujudkan “peralihan” dua tahun bagi negara yang dilanda peperangan. – AFP, 10 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen