Polis Iran guna 'kamera pintar' tangkap wanita tidak bertudung


Semakin ramai wanita di Iran yang ingkar dengan keperluan memakai tudung sejak gelombang protes kematian Mahsa Amini dalam tahanan. – Gambar EPA, 9 April 2023.

POLIS di Iran berkata semalam mereka merancang menggunakan teknologi “pintar” di tempat awam untuk mengenal pasti dan seterusnya menghukum wanita yang melanggar peraturan berpakaian Islam yang ketat di negara itu.

Satu kenyataan berkata pasukan itu akan “mengambil tindakan mengenal pasti orang yang melanggar norma dengan menggunakan alat dan kamera pintar di tempat awam dan jalan raya”.

Polis kemudiannya akan menghantar “mesej bukti dan amaran kepada pelanggar undang-undang bertudung” untuk “memaklumkan mereka kesan undang-undang mengulangi jenayah ini”.

Bilangan wanita di Iran yang mengingkari kod pakaian wajib meningkat sejak gelombang protes berikutan kematian dalam tahanan Kurdish-Iran Mahsa Amini, 22, kerana didakwa melanggar peraturan itu.

“Mulai Sabtu depan, sesiapa yang menanggalkan tudung akan dikenal pasti dengan menggunakan peralatan pintar,” kata Ketua Polis Iran Ahmad-Reza Radan dalam temu bual dengan televisyen kerajaan.

“Orang ramai yang tidak memakai tudung di tempat awam akan diberi amaran terlebih dahulu dan dibawa ke mahkamah sebagai langkah seterusnya,” kata Radan.

Beliau berkata pemilik kereta juga akan menerima teks amaran jika ada penumpang mereka yang melanggar etika berpakaian, dan kenderaan akan disita jika kesalahan itu berulang.

Amini meninggal dunia pada 16 September, tiga hari selepas penahanannya oleh polis moral.

Gelombang protes awam melanda republik Islam itu selepas kematiannya.

Dalam satu kenyataan berasingan semalam, polis berkata tidak akan bertolak ansur dengan “sebarang tingkah laku dan tindakan individu atau kolektif yang bertentangan dengan undang-undang”.

Minggu lalu, video tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki membaling yogurt kepada dua wanita kerana tidak bertudung.

Pada akhir Mac, ketua badan kehakiman, Gholamhossein Mohseni Ejei berkata “menanggalkan hijab sama dengan permusuhan terhadap nilai dan orang yang melakukan keabnormalan itu akan dihukum”.

Keperluan wanita bertudung di khalayak ramai termaktub dalam undang-undang negara itu sejurus selepas revolusi Islam 1979. – AFP, 9 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen