MALAYSIA akan meneruskan pendekatan diplomatik dalam hubungannya dengan negara-negara lain termasuk China dalam usaha bersama demi memastikan Laut China Selatan kekal aman, stabil dan selamat untuk laluan perdagangan, menurut Kementerian Luar ( Wisma Putra) pada Sabtu.
Pendekatan ini adalah selaras dengan peruntukan yang terkandung di dalam Deklarasi Tatalaku Pihak-pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC), antaranya, penyelesaian konflik dengan aman dan mengelakkan ancaman atau penggunaan kekerasan, seperti dipersetujui oleh negara-negara anggota Asean dan China pada 2002, menurut kenyataan Wisma Putra.
Wisma Putra memaklumkan bahawa pendekatan rundingan juga sedang diambil negara-negara anggota Asean dan China untuk memuktamadkan sebuah Kod Tatalaku di Laut China Selatan.
“Negara-negara anggota Asean dan China komited terhadap proses ini bagi menghasilkan sebuah Kod Tatalaku berdasarkan undang-undang antarabangsa, termasuk KUUL 1982 (Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut 1982),” menurut kenyataan itu.
Pendirian Malaysia berkenaan Laut China Selatan adalah konsisten dan kekal tidak berubah, menurut Wisma Putra.
Kerajaan Malaysia tegas dan komited untuk mempertahankan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan Malaysia di dalam kawasan maritimnya seperti yang terkandung dalam Peta Baru Malaysia 1979, menurut kenyataan itu.
Malaysia berpendirian teguh bahawa isu-isu berkaitan Laut China Selatan mesti diselesaikan secara aman dan konstruktif, berdasarkan undang-undang antarabangsa termasuk KUUL 1982.
Rujukan kepada ‘rundingan’ semasa Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Parlimen pada 4 April 2023, Perdana Menteri Anwar Ibrahim bermaksud sebarang isu berkaitan Laut China Selatan perlu dibincangkan atau diselesaikan secara aman menggunakan platform sedia ada dan juga melalui saluran diplomatik, dan tanpa menjejaskan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara, untuk mengelakkan sebarang peningkatan ketegangan (escalation) dan ancaman atau penggunaan kekerasan (threat or use of force).
Dalam temu bual dengan China Daily semasa lawatannya ke China minggu lepas, Anwar berkata tiada penyelesaian mudah bagi tuntutan bertindih wilayah di Laut China Selatan tetapi masalah itu bukanlah satu yang tidak dapat diatasi selagi ada ruang dialog. – Bernama, 8 April 2023.
Komen