Kematian kanak-kanak, remaja AS akibat senjata api naik ketara, kata laporan


Protes di Nashville, Tennessee awal bulan ini susulan kejadian tembakan di sebuah sekolah yang mengorbankan enam orang, termasuk tiga kanak-kanak pada 27 Mac lalu. – Gambar AFP, 8 April 2023.

KEMATIAN berkaitan senjata api dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di Amerika Syarikat melonjak 50% dalam tempoh dua tahun, menurut analisis yang dikeluarkan Pusat Penyelidikan Pew minggu ini.

Sebelum penularan wabak Covid-19 pada 2019, angka kematian akibat senjata api di kalangan kanak-kanak dan remaja Amerika yang berumur di bawah 18 tahun ialah 1,732.

Tetapi menjelang 2021, angka berkenaan telah meningkat dengan ketara kepada 2,590.

“Kadar kematian dalam kalangan kanak-kanak dan remaja meningkat daripada 2.4 kematian bagi setiap 100,000 penduduk pada 2019 kepada 3.5 setiap 100,000 dua tahun kemudian, iaitu peningkatan 46%,” lapor Agensi Anadolu memetik analisis itu.

Pusat Penyelidikan Pew menjalankan analisis berikutan kejadian tembakan di sebuah sekolah di Nashville, Tennessee pada 27 Mac yang mengorbankan enam orang, termasuk tiga kanak-kanak.

Pusat Penyelidikan Pew menganalisis statistik kematian tahunan terkini daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC). – Bernama, 8 April 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen