Chad usir duta Jerman kerana ‘sikap tidak sopan’


Keputusan Chad menangguhkan proses kembali ke demokrasi menimbulkan kebimbangan beberapa negara Eropah. – Gambar AFP, 8 April, 2023.

DUTA Jerman ke Chad akan diusir dalam tempoh 48 jam kerana “sikap tidak sopan” dan “tidak menghormati amalan diplomatik”, kata kerajaan di N’Djamena dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Duta Jan Christian Gordon Kricke memegang jawatan itu sejak Julai 2021 dan kerajaan tidak memberikan penjelasan rasmi berkaitan pengusiran itu.

Jurucakap kerajaan Aziz Mahamat Saleh menggesanya “untuk meninggalkan jajahan Chadian dalam 48 jam.”

“Kami tidak dihubungi secara rasmi,” kata sumber Kedutaan Jerman kepada AFP yang bercakap atas dasar kerahsiaan, berkata beliau hanya mengetahui mengenainya menerusi media sosial.

Kricke sebelum ini berkhidmat sebagai diplomat di Niger, Angola dan Filipina. Beliau juga adalah utusan khas Jerman di Sahel yang bergolak.

Sumber kerajaan memberitahu AFP yan Kricke dilihat “terlalu masuk campur” dalam pentadbiran negara dan mengeluarkan kenyataan memecah-belahkan.

Beliau sudah beberapa kali diberi amaran, tambah sumber lagi.

Jeneral Mahamad Idriss Deby Itno yang mengambil alih kuasa daripada bapanya, presiden Idriss Deby Itno yang memerintah negara selama 30 tahun meninggal dunia ketika operasi melawan pemberontak pada April 2021.

Junta tentera pada mulanya berjanji untuk menyerahkan kuasa kepada pentadbiran awam, bagaimanapun, pemerintahan Deby dilanjutkan dua tahun lagi.

Kedutaan Jerman bersama-sama kedutaan lain seperti Perancis, Sepanyol dan Belanda meluahkan kebimbangan atas penangguhan kembali kepada demokrasi itu. – AFP, 8 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen