Umno mohon Agong pertimbang beri pengampunan kepada Najib


Minggu lalu Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 4-1 menolak permohonan Najib Razak untuk menyemak sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 April, 2023.

MAJLIS Kerja Tertinggi (MKT) Umno memohon Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempertimbangkan pengampunan penuh terhadap Najib Razak, kata Asyraf Wajdi Dusuki.

Setiausaha Agung Umno berkata MKT juga memohon mengadap bagi mempersembahkan warkah rayuan kepada Agong berserta memorandum agar bekas perdana menteri itu mendapat perbicaraan yang adil.

Dalam satu kenyataan, Asyraf berkata MKT menerima memorandum daripada 191 bahagian Umno dan ia juga telah mengesahkannya.

“Majlis Kerja Tertinggi mengambil maklum kedukacitaan dan keresahan yang amat sangat ahli-ahli Umno di akar umbi terhadap keputusan yang dilihat tidak adil seiring dengan kenyataan penghakiman yang dizahirkan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman bin Sebli yang mempengerusikan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang turut menyatakan bahawa Najib tidak mendapat perbicaraan yang adil dan wajar dibebas dan dilepaskan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Minggu lalu Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 4-1 menolak permohonan Najib untuk menyemak sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Keputusan majoriti oleh empat hakim dalam panel itu menolak cabaran Najib terhadap sabitan dan hukumannya dalam kes SRC dan mengesahkan keputusan panel Mahkamah Persekutuan Ogos 2022 yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mengarahkan Najib mula menjalani hukuman.

Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Lam Kiat membacakan keputusan majoriti yang dipersetujui oleh tiga lagi panel — Hakim Mahkamah Persekutuan Rhodzariah Bujang dan Nordin Hassan, dan Hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel lima hakim itu membuat keputusan bertentangan.

Pada 28 Julai 2020 Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan mendapati Najib bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan — tiga untuk pecah amanah jenayah, tiga pengubahan wang haram dan satu salah guna kuasa.

Mohd Nazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib jika gagal membayar, lima tahun penjara.

Keputusannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021. – 7 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen