Anwar akan kemuka bukti Dr Mahathir perkaya keluarga


Kalidevi Mogan Kumarappa

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika bercakap pada satu dialog bersama pelajar Universiti Teknologi Mara, di Shah Alam, hari ini.– Gambar Facebook, 7 April, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim akan mengemukakan bukti kepada Dr Mahathir Mohamad berhubung dakwaan bekas perdana menteri itu memperkayakan keluarganya ketika dalam kerajaan.

Menurut Anwar, bukti akan diserahkan kepada Mahathir bagi menjawab tuntutan yang dikemukakan kepadanya pada 27 Mac lalu.

“Saya tak nak gaduh. Dia minta bukti saya bagi bukti, tiada masalah,” kata Anwar ketika ditanya dalam satu dialog bersama pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Anwar juga berkata tadbir urus Mahathir mempunyai kekuatannya namun mendakwa bekas perdana menteri itu juga banyak kelemahan.

Ahli Parlimen Tambun itu menjawab tuntutan Dr Mahathir supaya mengemukakan bukti tuduhan itu atau menarik balik kenyataan berkenaan yang dibuat pada 18 Mac lalu.

Notis yang dikemukakan peguam Dr Mahathir pada 27 Mac lalu memberi tempoh tujuh hari kepada Anwar untuk menjawab notis terbabit.

Peguam Anwar seterusnya memohon masa hingga 17 April ini untuk menjawab notis tuntutan terbabit.

“Anak guam kami tiada halangan kepada permintaan itu… Anak guam kami juga merizabkan segala hak beliau dalam tuntutan ini,” kata peguamnya di firma Tetuan Thomas Phillip.

Dr Mahathir mengemukakan tuntutan itu kerana masyarakat umum memahami Anwar melemparkan tuduhan ke atasnya walau namanya tidak disebut.

Katanya Anwar dalam ucapan pada 18 Mac menuduh beliau memiliki berbilion ringgit dan mengagihkan untuk keluarga, anak dan menyifatkannya sebagai penyangak.

Dr Mahathir berkata, fitnah itu memberi gambaran yang amat buruk terhadapnya.

Dalam ucapan di Kongres Nasional Khas PKR pada tarikh tersebut, Anwar membidas pemimpin Melayu yang memperbodohkan rakyat dengan amaran komuniti itu berdepan masa depan gelap.

Sedangkan, pemimpin berkenaan hanya membolot harta untuk keluarga sewaktu berkuasa, katanya tanpa menamakan mana-mana individu secara khusus.

“Bagi saya ini bukan agenda Melayu. Ini bukan agenda rakyat dan majoriti Melayu, tapi agenda keluarga dan kroni.

“Ada orang sekarang 22 tahun campur 22 bulan pegang kuasa tapi sekarang mengeluh Melayu hilang segala-galanya.

“Hilang harta, hilang saham, bagaimana tak hilang kalau kamu bolot untuk keluarga kemudian untuk anak-anak kamu. Jangan perbodohkan rakyat,” katanya. – 7 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen