INDEKS harga seunit besi meningkat 0.9% pada Mac 2023 berbanding 1.5% pada Februari lepas, seiring dengan trend peningkatan harga bijih besi dan besi utama di peringkat global, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata indeks harga seunit simen telah meningkat 1.1% pada Mac 2023 berbanding Februari 2023 berikutan peningkatan kos pengeluaran yang masih berterusan seperti harga bahan mentah iaitu batu kapur, arang batu, tenaga dan kos penghantaran.
“Selain itu, perbandingan tahun ke tahun bagi indeks harga seunit bahan binaan pula mencatat peningkatan antara 1.2 hingga 10.2% pada Mac 2023 berbanding bulan sama tahun lepas.
“Indeks harga bagi seunit simen dan batu bata dan dinding meningkat masing-masing 10.2 dan 8.0% bagi Mac 2023 berbanding bulan sama setahun lepas.
“Namun begitu, indeks harga bagi seunit bagi besi pula telah mencatat penurunan 0.6%,” katanya dalam kenyataan media Indeks Kos Bahan Binaan Mac 2023, hari ini.
Mohd Uzir menjelaskan bahawa purata harga seunit besi yang terdiri daripada batang keluli bulat lembut dan batang besi tegangan tinggi Mycon 60 adalah RM3,691.66 bagi setiap tan dan mencatatkan peningkatan 0.8% berbanding bulan sebelumnya (Februari 2023: RM3,662.23 setiap tan).
Purata harga simen (Ordinary Portland) turut mencatatkan peningkatan 1.1% iaitu RM22.40/50 kilogram berbanding RM22.15/ 50 kilogram (Februari 2023).
Indeks Kos Binaan tanpa batang keluli dan termasuk batang keluli bagi semua kawasan di Semenanjung Malaysia merekodkan peningkatan 0.2 hingga 2.7%pada Mac 2023 berbanding bulan sebelumnya.
“Selain itu, Indeks Kos Binaan tanpa dan termasuk batang keluli bagi Sabah menunjukkan peningkatan yang perlahan bagi hampir keseluruhan kategori bangunan iaitu di antara 0.1 dan 0.5% pada Mac 2023 berbanding bulan sebelumnya,” katanya. – Bernama, 7 April, 2023.
Komen