Lubnan kutuk pelancaran roket dari selatan negara itu ke Israel


Tentera Lubnan dan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) sedang menyiasat insiden itu, lapor Sputnik. – Gambar EPA, 7 April, 2023.

PEMANGKU Perdana Menteri Lubnan Najib Azmi Mikati pada Khamis berkata Beirut mengecam pelancaran roket dari selatan negara itu ke arah Israel.

Tentera Lubnan dan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) sedang menyiasat insiden itu, lapor Sputnik.

Pada Khamis Angkatan Pertahanan Israel mengesahkan 34 roket dilancarkan dari wilayah Lubnan ke utara Israel dengan 25 daripadanya berjaya dipintas.

Tentera Israel menuduh kumpulan Palestin terbabit dalam serangan itu yang berlaku sehari selepas polis Israel menyerbu masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis - salah satu tapak paling suci Islam, bertempur dengan rakyat Palestin dan menangkap ratusan orang.

Serbuan itu dikecam dunia Arab.

“Lubnan secara mutlak menolak sebarang peningkatan tindakan ketenteraan dari wilayahnya serta penggunaan wilayah Lubnan untuk operasi yang boleh membawa kepada ketidakstabilan,” kata Mikati pada pertemuan dengan Menteri Pertahanan Itali Guido Crosetto seperti yang dipetik oleh pejabatnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata pihak berkuasa Lubnan mengutuk pelancaran roket dari selatan negara itu dan tentera dan pasukan UNIFIL kini meningkatkan siasatan mereka.

Perdana menteri berkata semua pasukan yang beroperasi di selatan negara itu memberitahu Beirut bahawa mereka mengutuk pelancaran roket itu. – Bernama, 7 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen