BERKONGSI rasa marah kerana rasuah dan kemiskinan sehinggalah mengenai campur tangan Moscow di Barat, warga Rusia meluahkan perasaan mereka ketika membuang undi dalam pilihan raya presiden yang dijangka akan melanjutkan lagi jawatan Presiden Vladimir Putin sehingga 2024.
“Saya di pihak Putin. Tak ada pilihan lain selain dia.
“Saya hormat dia kerana dasar luarnya, kalau tak, Rusia akan musnah. Ada banyak lagi yang perlu diselesaikan dalam negara ini,” kata pesara kerajaan Valentina Popova, 77, dari Moscow.
Juruwang kanan, Natalya Kononova, 41, Moscow, berkata, “Saya di pihak Putin. Kami percaya dia. Dan mengundi adalah tanggungjawab saya sebagai warganegara.”
Iraida Korablina, 67, Moscow, berkata: “Saya di pihak Putin. Dasar luar sudah betul walaupun di dalam negara ada banyak lagi yang perlu diperbetulkan.”
Pemandu teksi dan bekas pemain bola tangan profesional, Sergei Inshakov, 37, dari Moscow berkata: “Kita tak perlu perubahan sekarang ini. Putin perlu selesaikan apa yang dia janji dan mulakan.”
Sergei Yakovlev, 47, Saint Petersburg, berkata: “Saya tak harap apa-apa yang bagus. Saya undi Grudinin, tapi jelas yang Putin (akan menang). Dia tak ada program untuk laksanakan, semua perkara jadi lebih teruk. Dia akan kisah pada simpanan minyak tanpa mengubah apa-apa sampailah semuanya kacau bilau.”
Antonina Kurchatova, 40, Saint Petersburg, berkata: “Saya undi Putin. Tapi kali ini dengan perasaan yang berbeza berbanding dahulu. Sekarang ini, saya harap semuanya tak jadi lebih teruk. Saya sangat suka dengan dasar luarnya, dia buat yang betul, tapi selagi melibatkan ekonomi, semuanya teruk. Saya menanti perubahan ekonomi yang lebih konstruktif dan juga perubahan dalam kerajaan.”
Lilia Kartashova, 70, Saint Petersburg, berkata: “Hanya Putin. Saya harap yang baik-baik sahaja dari dia. Ingat tak lagi bagaimana keadaan negara ketika dia ambil alih dari Eltsin? Teruk, tiada siapa hormat kita dan sekarang? Dia buat benda yang betul. Cuma kerajaan yang perlu ditendang keluar, terutamanya Medvedev. Apa jenis perdana menteri dia ni? Dia cuma bahan ketawa sahaja.” – AFP, 18 Mac, 2018.
Komen