Apa yang diperlukan untuk laksana perubahan sebenar di Malaysia?


Mustafa K. Anuar

Parlimen boleh menjadi medan perbincangan dan bukan untuk mengelakkan isu seperti skandal 1MDB dan laporan Unicef mengenai kanak-kanak daif dan kurang zat makanan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mac, 2018. 

KARTUNIS politik, Zunar menegaskan bahawa beliau akan terus mengkritik kerajaan walaupun jika Pakatan Harapan (PH) berkuasa. Ini adalah permulaan yang baik dalam membincangkan perubahan politik.

Kartunis, pengkritik, ahli akademik, penganalisis bebas dan rakyat Malaysia yang prihatin patut diberi platform dan kebebasan untuk menjalankan hak mereka dalam memastikan kerajaan bertanggungjawab

PH menjanjikan perubahan politik dan reformasi institusi, maka memang patut jika PH diperhatikan dengan rapi oleh masyarakat sekiranya ia berjaya membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum ke-14.

Oleh sebab itulah, undang-undang seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (yang disebut oleh PH baru-baru ini) patut dimansuhkan dan bukan setakat dipinda.

Galakan juga perlu diberikan kepada penerbitan media lebih kecil untuk meraikan perbezaan politik, sosial dan budaya, selain menjaga kepentingan golongan minoriti.

Ia haruslah diiringi dengan langkah meluluskan Akta Kebebasan Maklumat bagi membuktikan keikhlasan kerajaan dan juga meningkatkan nilai kebebasan bersuara dan kebebasan maklumat sebagai asas demokrasi.

Pemisahan kuasa juga tidak harus dibangkitkan sebagai modal kempen sahaja. Ia perlu diperkukuh agar badan eksekutif, perundangan dan kehakiman dapat menyemak dan menyeimbangkan kuasa masing-masing untuk mengelakkan penyalahgunaan, tanpa mengira siapa yang akan menjadi kerajaan.

Sekiranya idea ini diusahakan dengan bersungguh-sungguh, maka Parlimen boleh menjadi medan perbincangan dan bukan untuk mengelakkan isu seperti skandal 1MDB dan laporan Unicef mengenai kanak-kanak daif dan kurang zat makanan.

Pada masa sama, pembuat undang-undang juga perlu diingatkan bahawa undang-undang dibuat untuk memperkuatkan rakyat dan bukannya untuk melembukan atau mencucuk hidung mereka – seperti yang banyak terbukti diamalkan di negara ini.

Undang-undang juga perlu digubal demi kepentingan dan kebajikan rakyat, dan bukannya untuk segelintir sahaja.

Kerajaan yang membawa perubahan sebenar tidak seharusnya berfikir bahawa cara untuk mengekalkan keamanan adalah dengan menyekat kritikan melalui tapisan dan cara yang mencurigakan.

Ia patut membina persekitaran yang membolehkan idea berkembang, dibincang, dan dibahaskan dengan cara sepatutnya dalam masyarakat yang bertamadun dan demokratik. Kebebasan intelek harus dihormati.

Dalam bidang akademik, para pelajar sebagai contoh, tidak harus dihukum, didenda dan digantung pengajian hanya disebabkan pendapat mereka yang tidak sama dengan kerajaan.

Dengan kata lain, pihak berkuasa universiti tidak harus bertindak dalam cara yang memberi gambaran kepada umum bahawa mereka meninggalkan keupayaan berfikir apabila mendapat kuasa mentadbir di universiti.

Tidak perlu disebutkan bahawa universiti perlu seharusnya menjadi tempat di mana pandangan bertentangan adalah sebahagian daripada kehidupan akademik, dan tidak dipandang sebagai perkara tidak normal, atau lebih teruk lagi sebagai jenayah.

Begitu juga dengan institusi akademik seperti Majlis Profesor Negara. Ia patut membebaskan diri dari gambaran umum bahawa kewujudannya hanyalah untuk memberi keabsahan kepada pandangan dan tindakan kerajaan. 

Buku termasuk buku kartun, tidak harus diharamkan hanya kerana tidak senada dengan pandangan kerajaan.

Seperkara lagi, pembangkang tidak harus dilihat dan dianggap sebagai perkara yang tidak diperlukan kerana ia adalah institusi yang sah dalam demokrasi yang maju. Bukannnya satu gangguan yang patut dipersenda atau ditindas.

Rakyat Malaysia kali ini berharap pada satu perkara yang lebih daripada perubahan pemain politik yang membawa skrip sama. – 18 Mac, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen