PARTI pembangkang Australia menolak cadangan kerajaan untuk menubuhkan Indigenous Voice (Suara Orang Asli).
Selepas mesyuarat khas hari ini ketua Parti Liberal Peter Dutton berkata majoriti parti persekutuan memutuskan menolak cadangan itu, lapor Xinhua.
Rakyat Australia dijangka mengundi cadangan perubahan kepada perlembagaan yang secara rasmi akan mengiktiraf orang Asli dan penduduk pulau Torres Strait Islander dalam dokumen pengasas negara itu serta penubuhan Indigenous Voice (Suara Orang Asli) pada pertengahan 2023.
Jika berjaya Indigenous Voice akan berperanan menasihati Parlimen persekutuan mengenai isu berkaitan Orang Asli.
Keputusan itu memberi tamparan kepada Perdana Menteri Anthony Albanese yang menyokong kuat cadangan itu.
Untuk pungutan suara berjaya majoriti mudah semua pengundi sebagai tambahan kepada majoriti di sekurang-kurangnya empat daripada enam negeri mesti mengundi menyokong.
Menurut tinjauan pendapat yang diterbitkan oleh News Corp Australia pada Rabu, lebih 50 peratus pengundi di lima daripada enam negeri menyokong cadangan itu.
Di peringkat nasional, 54 peratus daripada 4,756 responden berkata mereka berhasrat untuk mengundi pada referendum manakala 38 peratus menentang. – Bernama, 5 April, 2023.
Komen