Zuraida nafi mahu sertai Bersatu semula


Ravin Palanisamy

Zuraida Kamaruddin menafikan permohonan untuk menyertai semula Bersatu, menolak dakwaan yang dibuat sebelum ini oleh Ketua Pemuda parti itu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 April, 2023.

BEKAS ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin menafikan permohonan untuk menyertai semula Bersatu, menolak dakwaan yang dibuat sebelum ini oleh Ketua Pemuda parti itu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Zuraida berkata beliau akan menyokong Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang tetapi menafikan mahu menyertai Bersatu, parti utama dalam gabungan itu.

“Saya cuma sebut saya akan sokong PN pada pilihan raya (negeri) akan datang.

“Saya sokong parti berbilang kaum,” kata bekas ahli Parlimen PKR itu dalam satu kenyataan hari ini.

Zuraida berkata setakat ini beliau belum membuat sebarang keputusan tetapi mendakwa ia akan dimuktamadkan apabila tiba masa yang sesuai.

Zuraida, bekas menteri perumahan dan kerajaan tempatan di bawah pentadbiran presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata beliau memutuskan untuk menyokong PN berikutan kegagalan Kerajaan Perpaduan sekarang.

Beliau berkata ia juga merupakan satu sentimen yang dikongsi oleh ramai pihak.

“Sebilangan akar umbi mahu kita bersatu untuk meninggikan suara rakyat. Bukan sahaja suara orang Melayu tetapi suara semua kaum,” katanya.

Komen Zuraida dibuat berikutan dakwaan ahli Parlimen Machang Wan Fayhsal bahawa bekas menteri itu memohon untuk menyertai semula Bersatu tetapi ditolak kerana enggan melepaskan jawatan menteri yang diisi atas kuota Bersatu selepas keluar parti.

Selain berkhidmat sebagai menteri dalam kerajaan Muhyiddin, beliau juga dilantik sebagai menteri industri perladangan dan komoditi di bawah pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.

Zuraida dan beberapa yang lain termasuk Mohamed Azmin Ali dipecat daripada PKR pada Februari 2020 berikutan Langkah Sheraton. Mereka kemudiannya menyertai Bersatu pada Ogos 2020.

Bagaimanapun Zuraida meninggalkan Bersatu pada Mei 2022 untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan bertanding di bawah tiket parti pada Pilihan Raya Umum ke-15. Beliau memperoleh kurang daripada 5,000 undi dan kehilangan depositnya.

Pada Disember tahun lalu Zuraida dan 10 yang lain dipecat daripada PBM.

Beliau menyertai Muafakat Nasional, NGO yang diketuai oleh bekas setiausaha agung Umno Annuar Musa dan dilantik sebagai timbalan presidennya pada Januari. – 5 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen